PUTRAJAYA: Keunikan budaya dan nilai kesantunan masyarakat Malaysia menjadi tumpuan di Dataran Putrajaya hari ini apabila kontinjen Siti Khadijah (SK) membuat kemunculan sulung dalam Perbarisan Hari Kebangsaan 2026 dengan tema ‘Geng Masjid’.
Membawa mesej kerohanian yang dekat dengan jiwa rakyat, kontinjen yang terdiri daripada 47 warga kerja itu tampil dalam persalinan telekung, sarung suri, kain pelekat dan kurta, sekali gus menterjemahkan identiti berpakaian ke masjid yang menjadi amalan turun-temurun di negara ini.
Penyertaan Siti Khadijah adalah atas jemputan agensi kerajaan bagi mewakili Sektor Ekonomi di bawah Kluster 5: Kesejahteraan dan Ekonomi Rakyat, sebagai pengiktirafan kepada sumbangan jenama tempatan dalam memperkasakan sosioekonomi masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif Siti Khadijah, Mohammad Munzir Aminuddin berkata, kehadiran mereka dalam perbarisan nasional itu bukan sekadar penyertaan korporat, tetapi merupakan satu penghormatan terhadap perjalanan 17 tahun jenama itu membesar bersama rakyat Malaysia.
"Kami melihat jemputan ini sebagai satu simbolik kepada kepercayaan yang diberikan oleh masyarakat. Siti Khadijah bermula dengan langkah kecil pada 2009, dan hari ini kami berdiri di sini untuk meraikan semangat keusahawanan tempatan yang dibina oleh anak bangsa sendiri.
"Apa yang kami bawa dalam perbarisan hari ini bukan sekadar nama organisasi, tetapi adalah kisah azam dan usaha warga kerja kami serta sokongan masyarakat yang membolehkan sebuah idea tempatan berkembang memberi manfaat kepada ekonomi rakyat," katanya di sini, hari ini.
Bagi memastikan persembahan yang terbaik pada hari bersejarah ini, kontinjen berkenaan telah menjalani tujuh sesi latihan intensif, yang mencerminkan komitmen serta semangat kebersamaan warga kerja syarikat itu dalam menjayakan sambutan hari kebangsaan.
Penyertaan Siti Khadijah dalam kluster ekonomi pada tahun ini menyerlahkan peranan penting perusahaan tempatan dalam mencorakkan masa depan Malaysia yang lebih sejahtera dan berdaya saing.