KUALA LANGAT: Kumpulan penjenayah dikenali Geng Ramesh dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah termasuk samun berjaya ditumpaskan menerusi tangkapan tiga individu di sekitar kawasan Kuala Langat pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, lima suspek dipercayai ahli kumpulan penjenayah itu diberkas berumur antara 28 hingga 47 tahun.

Menurutnya, tangkapan dijalankan berikutan kejadian seorang pekerja buruh warga asing membuat laporan berkaitan wang tunai miliknya disamun di hadapan sebuah kilang di Telok Panglima Garang di sini pada 21 Oktober lalu melibatkan kerugian berupa satu unit telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM33,000.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Langat menahan seorang lelaki menerusi serbuan yang dijalankan kira-kira jam 11 malam pada 22 Oktober.

"Siasatan daripada tangkapan pertama kemudian membawa kepada dua lelaki dipercayai rakan sejenayah suspek pertama menerusi serbuan kira-kira jam 12.30 pagi pada 23 Oktober," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, ketiga-tiga suspek diberkas di sekitar kawasan Telok Panglima Garang.

"Hasil tangkapan kesemua suspek terlibat, polis berjaya menemui semula barang-barang dan wang tunai milik mangsa serta sejumlah barangan yang digunakan semasa melakukan kegiatan samun tersebut.

"Antara barangan yang dirampas adalah tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kereta jenis Perodua Myvi, sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 dan wang tunai sebanyak RM 19,500.00," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek yang diberkas mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

"Ketiga-tiga suspek direman lima hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya. -Sinar Harian