MALAYSIA
Genjatan senjata Thailand-Kemboja: Cadangan tambah pemerhati tiada niat campur tangan - PM

Anwar (tengah) hadir pada majlis penutup Forum Undang-Undang ASEAN 2025 yang bertemakan Enhancing Access to Justice in The ASEAN Economic Community: Bridging Legal Cooperation For Inclusive Growth di Kuala Lumpur hari ini. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Cadangan penambahan pemerhati antarabangsa bagi memantau pelaksanaan genjatan senjata antara Kemboja dan Thailand adalah langkah sokongan semata-mata, tanpa niat campur tangan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Menurutnya, pasukan tambahan itu, disaran susulan kebimbangan terhadap kekurangan tenaga pemantau di lapangan, boleh diambil daripada pegawai pertahanan atau wakil kedutaan ASEAN di negara terbabit, sekiranya pasukan sedia ada tidak mencukupi.
“Sebagai contoh, kita ada lapan di Bangkok tetapi hanya dua di Phnom Penh. Jadi kita putuskan perlu ditambah. Jika bilangan terlalu kecil, kita boleh ambil daripada pertahanan (Pasukan Pemerhati Interim ASEAN) atau kedutaan untuk menyokong program ini.
“Tiada sebarang jangkaan luar biasa. Jika dibaca kenyataan itu, ia hanya menyebut supaya kita mulakan dengan kedutaan dahulu. Jadi, perkara ini tidak menimbulkan masalah sama sekali,” katanya.Anwar berkata demikian kepada media selepas menyampaikan ucaptama pada majlis penutup Forum Undang-Undang ASEAN 2025 yang bertemakan Enhancing Access to Justice in The ASEAN Economic Community: Bridging Legal Cooperation For Inclusive Growth, di sini, hari ini.
Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai berkata pada Rabu beliau menolak permintaan daripada Anwar untuk menghantar lebih ramai pemerhati antarabangsa bagi memantau gencatan senjata di negara itu.
Beliau berkata, Anwar telah menghubunginya pada Selasa dan mencadangkan penempatan tambahan pemerhati antarabangsa, dengan alasan bahawa terdapat banyak tugas yang tidak dapat dilaksanakan oleh Pasukan Pemerhati Interim ASEAN (IOT) secara bersendirian.
Phumtham menjelaskan, beliau menolak permintaan tersebut dengan menyatakan bahawa konflik sempadan Thailand-Kemboja adalah isu antara kedua-dua pihak, dan Thailand tidak akan membenarkan campur tangan pihak luar.
Phumtham turut menyatakan sekiranya ASEAN IOT memerlukan lebih ramai kakitangan pemerhati antarabangsa, mereka mesti menggunakan atase tentera dari kedutaan ASEAN atau kakitangan dari lapan kedutaan ASEAN.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami