KUALA LUMPUR: Genting Malaysia Bhd (Genting Malaysia) hari ini menafikan sebarang penglibatan dalam perbincangan mengenai pengoperasian kasino di Forest City, Johor.

Dalam kenyataan hari ini, ia berkata syarikat itu mahu pun Timbalan Pengerusi dan Ketua Eksekutifnya Tan Sri Lim Kok Thay tidak terlibat dalam perbincangan atau mesyuarat berkaitan pembukaan kasino itu.

"Tuduhan itu tidak benar," katanya.

Kenyataan itu sebagai menjawab laporan media yang turut mengandungi dakwaan bahawa syarikat berkenaan serta Lim telah menyertai perbincangan berkaitan.

Sehubungan itu, Genting Malaysia menggesa semua pihak agar menghentikan penyiaran atau penerbitan serta penyebaran maklumat salah, menarik balik dakwaan tidak benar dan memberi penjelasan sewajarnya kepada orang ramai bagi mengelak kekeliruan selanjutnya.

Syarikat itu juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut yang dianggap wajar untuk melindungi kepentingan dan pihak berkepentingannya.

-- BERNAMA