KUALA LUMPUR: Sebuah gerai yang menjual mi goreng berlauk sotong yang tular dengan nama "Mee Tonggek" di Bazar Ramadan Putrajaya diarah tutup setelah didapati tidak bersih.

Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) mengambil tindakan penguatkuasaan itu di Bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

BACA: Juadah di bazar Ramadan dicemari ulat: PPj keluar notis amaran keras

Dalam kenyataan pada Sabtu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata pemilik gerai berkenaan diarah mengambil langkah mempertingkatkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan sebelum dibenarkan beroperasi semula.

“Kompaun turut dikeluarkan terhadap seorang pekerjanya yang didapati tidak mengambil suntikan antitifiod.

"Tiga sampel turut diambil di gerai terlibat bagi tujuan analisis mikroorganisme dan bendasing.

“Siasatan oleh pihak KKM juga mendapati peniaga tersebut mempunyai sebuah premis makanan yang beroperasi di Cyberjaya di mana bahan mentah dimasak dan disimpan sebelum dipasarkan di bazar tersebut.

"KKM akan menjalankan pemeriksaan dan siasatan di premis berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pengendalian keselamatan makanan di premis tersebut,” kata Dr Noor Hisham.

Sementara itu, bagi aduan kes gumpalan rambut dalam kuih limas, Dr Noor Hisham memaklumkan, KKM  telah membuka kertas siasatan ke atas pengeluar kuih limas terlibat bagi tujuan pendakwaan mengikut Akta Makanan 1983.

Kata KKM, sehingga kini, sebanyak 4,362 premis bazar Ramadan telah diperiksa dalam Operasi Ramadan 2022 yang dijalankan di seluruh negara.

Sebanyak 77 notis kompaun dengan nilai RM38,500.00 telah dikeluarkan bagi kesalahan di bawah peraturan-peraturan kebersihan makanan 2009 dan sebanyak 178 sampel makanan juga telah diambil untuk dianalisis.

“Peniaga makanan yang didapati tidak mematuhi kehendak di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” kata Dr Noor Hisham.