Gerakan bawa kes hudud ke Mahkamah Persekutuan

Bernama
Mei 9, 2015 09:27 MYT
Gerakan bawa kes hudud ke Mahkamah Persekutuan
Gerakan pada Jumaat memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kesahihan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 11 1993 (Pindaan 2015) atau lebih dikenali sebagai hudud di bawah perlembagaan.
Timbalan Ketua Pemuda dan ketua pasukan perundangan Gerakan, Andy Yong Kim Seng, berkata notis usul dikemukakan di pusat sehenti Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan kira-kira 11 pagi.
Dalam notis usul itu, Gerakan meminta Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada parti itu untuk membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan bagi membincangkan dan memutuskan persoalan undang-undang sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan mempunyai bidang kuasa menggubal Kanun Jenayah Syariah 11 (Pindaan).
"Kami mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Kelantan mempunyai bidang kuasa untuk meluluskan Kanun Jenayah Syariah 11 (Pindaan)," kata beliau ketika dihubungi Bernama di sini.
Sementara itu, dalam mesej Whatsapp kepada Bernama, Yong berkata Gerakan memfailkan notis usul itu mengikut Perkara 4(3) dan 4(4) Perlembagaan Persekutuan memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Enakmen Hudud itu adalah tidak sah dan batal kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, terutamanya kebebebasan fundamental yang termaktub dalam Fasal 11 Perlembagaan
Persekutuan.
"Kami juga percaya bahawa DUN Kelantan telah bertindak melampaui bidang kuasanya dengan menceroboh bidang kuasa Parlimen Malaysia dengan menggubal undang-undang jenayah dan perkara yang menjadi sebahagian daripada Senarai Perundangan Persekutuan seperti termaktub oleh Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan," kata Yong.
Menurutnya, Gerakan sedang menimbang untuk memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bahru yang menolak saman pemula parti untuk mencabar Kanun Jenayah Syariah Kelantan.
BACA: Mahkamah Tinggi tolak, batal saman pemula Parti Gerakan
Hakim Datuk Azman Abdullah, ketika menolak permohonan itu semalam, berkata saman pemula itu bersifat pramatang kerana difailkan sebelum Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan pindaan itu.
Hakim juga memutuskan walaupun jika proses tindakan itu bermula pada 18 Mac, pemohon perlu mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 4 (3) dan (4) dan Perkara 128 Perlembagaan Persekutuan.
Tiga anggota parti iaitu Tuan Mat Tuan Wil, Soh Hoon Lee dan Chung Mon Sie memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi pada 18 Mac tahun ini, iaitu hari sama enakmen itu dibentangkan di DUN berkenaan.
Dalam saman pemula itu, mereka menamakan Kerajaan Kelantan sebagai defendan.
Bagaimanapun, pada 25 Mac lepas, pemohon memfailkan permohonan baharu mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk Mahkamah Tinggi merujuk permohonan mencabar hudud ke Mahkamah Persekutuan.
DUN Kelantan pada 19 Mac lepas meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) setelah memperoleh undi sebulat suara daripada 44 anggota Dewan yang menghadiri persidangan.
#GERAKAN #hudud #Mahkamah Persekutuan