MALAYSIA

Gerakan koperasi Sabah perlu berani melangkah ke era digital - Ramanan

Bernama 14/11/2025 | 15:45 MYT
Ramanan ketika berucap pada Program Bicara Ilmu anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) yang menghimpunkan hampir 200 ahli koperasi dari seluruh Sabah hari ini. - Gambar Facebook Ramanan Ramakrishnan Official Media
KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan menyeru gerakan koperasi di Sabah agar berani beralih ke arah pendigitalan bagi memastikan kelangsungan dan keupayaan bersaing dalam landskap ekonomi masa kini.


Ringkasan AI
  • Timbalan Menteri R. Ramanan seru gerakan koperasi Sabah beralih ke arah pendigitalan bagi keupayaan bersaing dalam ekonomi global.
  • Koperasi perlu adaptasi teknologi baharu untuk kelangsungan, kata beliau pada Program Bicara Ilmu anjuran IKMa di Sabah.
  • Kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri penting untuk memperkasakan sektor koperasi serta manfaatkan inisiatif pembangunan bagi rakyat.


Beliau berkata koperasi tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan tradisional, sebaliknya perlu menyesuaikan diri dengan teknologi serta inovasi baharu yang menjadi pemacu utama ekonomi dunia masa kini.

"Pendigitalan bukan lagi sekadar pilihan, tetapi merupakan satu keperluan mutlak bagi menentukan kelangsungan dan keupayaan koperasi untuk bersaing.

"Tanpa perubahan ke arah digital, kita bukan sahaja berisiko untuk ketinggalan, tetapi mungkin terpinggir daripada arus perdana pembangunan ekonomi moden," katanya.

Menurut hantaran Facebook rasminya, Ramanan berkata demikian ketika berucap pada Program Bicara Ilmu anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) yang menghimpunkan hampir 200 ahli koperasi dari seluruh Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata sambutan yang menggalakkan terhadap program berkenaan mencerminkan tekad bersama ahli-ahli koperasi di Sabah untuk memperkukuh gerakan mereka dalam menghadapi cabaran semasa.

"Perubahan besar hanya akan berlaku apabila ada keberanian untuk mencuba dan kesediaan untuk berkembang," katanya.

Beliau turut menegaskan usaha memperkasakan sektor koperasi di Sabah memerlukan sokongan dan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri, khususnya dalam memastikan setiap inisiatif pembangunan dapat dirasai rakyat di peringkat akar umbi.

Ramanan berkata prestasi gerakan koperasi di Sabah sehingga 31 Dis 2024 menunjukkan perkembangan positif dengan 1,994 koperasi berdaftar melibatkan 375,559 anggota.

Beliau berkata jumlah modal saham dan yuran terkumpul juga telah mencecah RM273.37 juta dengan nilai aset keseluruhan sebanyak RM1.008 bilion manakala perolehan direkodkan pada RM774.45 juta.

-- BERNAMA



#Facebook #ekonomi dunia #inovasi baharu #sektor koperasi