Perdana Menteri telah membentangkan RMK13 hari ini. Dapatkan intipati utama di sini
MALAYSIA

Geran MITRA: Jangan lupa 'pandang' syarikat pemula

Astro Awani 08/06/2025 | 13:02 MYT
Murali Prasad Y Vandayar berkata, ekosistem yang merangkumi inkubasi, pembinaan prototaip, serta hubungan ke 'angel investor' dan dana pra-bibit merupakan elemen kritikal yang masih kurang diberi perhatian dalam model PPSMI sedia ada. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Geran Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (PPSMI) yang diperuntukkan di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) wajar disasarkan bukan hanya kepada perusahaan mikro konvensional, malah dimanfaatkan sebagai pemangkin kepada kemunculan syarikat pemula (startup) teknologi tinggi dalam kalangan masyarakat India.

Pakar keusahawanan dan dasar inovasi serantau, Murali Prasad Y Vandayar berpendapat, jika MITRA benar-benar berhasrat untuk mendorong perubahan struktur dalam komuniti, sebahagian daripada dana itu perlu dilaburkan ke arah pembinaan syarikat teknologi khususnya dalam bidang seperti bioteknologi, kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh baharu dan bahan mampan.

Kata beliau, ekosistem yang merangkumi inkubasi, pembinaan prototaip, serta hubungan ke 'angel investor' dan dana pra-bibit merupakan elemen kritikal yang masih kurang diberi perhatian dalam model PPSMI sedia ada.

"Kita di Malaysia, anak muda dari kalangan B40 juga ada idea berpotensi global. Tapi tanpa ekosistem, idea itu mati di meja geran,"ujarnya.

Sebagai penyumbang kepada beberapa program ‘angel investor’, modal teroka dan inkubator teknologi ASEAN, Murali Prasad menyarankan supaya MITRA memperuntukkan sebahagian geran masa hadapan untuk model perintis startup berasaskan penyelidikan seiring dengan kejayaan program serantau yang telah berjaya menarik pembiayaan luar untuk usahawan minoriti.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas MITRA P Prabakaran sebelum ini memberitahu, RM40 juta daripada RM100 juta yang disalurkan kerajaan tahun ini kepada unit transformasi itu diluluskan di peringkat jawatankuasa untuk pelbagai program bagi memastikan transformasi sosioekonomi masyarakat itu.







#kecerdasan buatan #Mitra #syarikat pemula #startup