Gesaan pecah monopoli Melayu dalam perkhidmatan awam tidak wakili PH atau DAP - Anwar

Madiha Abdullah
Februari 11, 2023 07:15 MYT
Kata Anwar, gesaan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy yang membuat gesaan itu bukan mewakili DAP atau PH. - Bernama
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat gesaan agar beliau memecahkan monopoli Melayu dalam perkhidmatan awam sebagai pandangan peribadi semata-mata.
Perdana menteri menjelaskan gesaan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P. Ramasamy itu bukan kenyataan mewakili DAP atau Pakatan Harapan.
“Itu pandangan peribadi beliau. Jika ada keperluan untuk menimbang (perkara itu), kami akan menimbangnya.
“Tetapi itu bukan pandangan DAP dan perkara itu tidak dibangkitkan untuk dipertimbangkan kerana keadaan sekarang saya tidak fikir ia satu masalah
Saya tidak fikir di kawasan ini ada masalah, tetapi kita tidak akan menghalang orang daripada bersuara atau menawarkan pandangan.
“Mereka boleh (memberi pandangan), tetapi ia tidak akan mempengaruhi DAP atau kerajaan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Ramasamy meminta Anwar mereformasi perkhidmatan awam atas alasan sektor itu kini didominasi oleh orang Melayu.
Beliau juga berkata Anwar menyedari keperluan untuk memecahkan monopoli orang Melayu terhadap perkhidmatan awam, dan tidak bersetuju dengan alasan bahawa orang bukan Melayu menjauhkan diri daripada perkhidmatan awam kerana kekurangan prospek kenaikan pangkat.
#Anwar Ibrahim #P Ramasamy #DAP #Pakatan Harapan