GGK: Jangan ada yang berpolitik untuk dapat pangkat, jawatan - Sultan Johor

Siti Nur Aqilla Omar
Ogos 5, 2022 03:10 MYT
Sultan Ibrahim bertitah pada majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-57 di Padang Kawad Markas 21, GGK, Kem Iskandar, Mersing, hari ini. - Foto ihsan RPO
MERSING: Bagi mengukuhkan Grup Gerak Khas (GGK) Angkatan Tentera Malaysia, perancangan sumber manusia yang lebih tersusun mesti dibuat supaya pegawai pelapis berkualiti dapat dihasilkan secara berterusan.
Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar bertitah demikian sambil mengingatkan bahawa, baginda sendiri akan meneliti segala urusan kenaikan pangkat serta penempatan pegawai yang terlibat.
Justeru, baginda menegaskan, jangan ada pegawai yang berpolitik untuk mendapatkan pangkat atau jawatan tertentu dalam GGK.
“Saya harap selepas ini, pihak Panglima Tentera Darat dan Panglima Gerak Khas jangan pandai-pandai buat keputusan kenaikan pangkat tanpa merujuk kepada saya dahulu.
“Penilaian akan dibuat mengikut merit dan bersandarkan kepada latar belakang serta prestasi pegawai berkenaan. Saya tidak mahu ada unsur pilih kasih atau mengikut kem tertentu.
“Suka juga saya ingatkan bahawa segala perjawatan dan pangkat yang telah diperuntukkan kepada Gerak Khas tidak boleh diberikan atau dipinjamkan kepada kor lain,” titah baginda yang juga Kolonel Komandan GGK.
Baginda bertitah demikian ketika berangkat sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-57 di Padang Kawad Markas 21, GGK, Kem Iskandar, di sini, hari ini.
Berangkat sama, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Sultan Ibrahim.
Sultan Ibrahim turut menegaskan supaya tidak ada pihak yang memandang sebelah mata terhadap pasukan GGK.
“Jika ada pihak yang membelakangkan saya, maka saya rasa tidak perlu lagi untuk saya terus menjadi Kolonel Komandan Rejimen Gerak Khas,” titah baginda.
#Grup Gerak Khas #jangan berpolitik untuk dapat jawatan #Sultan Ibrahim Iskandar #Angkatan Tentera Malaysia