Terkini: Inkues kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

GIFF 2025: Rampasan dana RM20 bilion bukti negara perlu terus tingkat tadbir urus - PM

Firdaus Azil 13/10/2025 | 09:15 MYT
PM Anwar tegaskan tadbir urus baik asas utama kewangan Islam. RM15.5 bilion dana negara berjaya dipulihkan dalam 2 tahun, bukti komitmen sifar toleransi terhadap rasuah dan ketirisan. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Kejayaan pihak berkuasa yang merampas kembali dana negara sebanyak RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun, menunjukkan keberkesanan komitmen Kerajaan MADANI terhadap tadbir urus dan sifar toleransi terhadap rasuah dan ketirisan.

Namun, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, di sebalik kejayaan mengekang penyalahgunaan kuasa, sindiket, kartel dan sebagainya, apa yang merisaukan ialah bagaimana ia boleh terjadi dalam negara seperti Malaysia.

Menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai tadbir urus yang agak baik, Anwar berkata, sukar dipercayai bagaimana wujud toleransi untuk tempoh yang lama terhadap kewujudan pemimpin yang mengamalkan rasuah.

"Saya sendiri, secara peribadi, memang menghadapi kesukaran besar untuk memahami, bagaimana mungkin dalam sebuah negara seperti Malaysia — yang secara relatifnya mempunyai tadbir urus yang baik — kita masih berdepan dengan isu seperti ini? Dan ini bukanlah gambaran penuh, yang bermaksud kita telah lama bertolak ansur.

“Bayangkan jika setiap tahun kita kehilangan RM5 bilion akibat perbuatan penyangak, kartel dan 'tuan-tuan' korup ini. Cuba bayangkan, dalam tempoh sedekad, berapa banyak yang telah kita rugi? Sebab itulah saya percaya, apabila kita bercakap tentang Maqasid Syariah, kita mesti bermula dengan isu tadbir urus yang baik.

“Dan kita semua — pemimpin, profesional, ahli akademik dan penjawat awam — perlu sentiasa diingatkan bahawa matlamat sebenar, dalam kerangka objektif yang lebih tinggi, ialah memastikan bahawa walaupun kita memperkenalkan instrumen kewangan, soal daya saing dan keuntungan, kita tidak boleh mengabaikan nilai, keadilan dan tadbir urus yang baik,” tegasnya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap di Forum Kewangan Islam Dunia (GIFF) 2025 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, pada Isnin.

GIFF 2025 ialah edisi ke-8 forum dwitahunan yang menghimpunkan pemimpin industri, penggubal dasar, pakar kewangan Islam, dan inovator global untuk membincangkan masa depan kewangan Islam,selain menjadi platform strategik untuk Membentuk wacana global tentang kewangan Islam; menggalakkan inovasi dalam produk dan perkhidmatan kewangan patuh syariah; dan memperkukuh kerjasama rentas sempadan dalam kalangan negara OIC dan pasaran baru muncul.

Dalam pada itu Perdana Menteri menegaskan, peranan beliau adalah untuk tadbir urus negara mesti teratur terlebih dahulu.

“Dan apabila ia sudah teratur, barulah inisiatif seperti Islam dan kewangan Islam dapat benar-benar menyerlah. Jika tidak, instrumen-instrumen ini hanya akan dilihat sebagai alternatif semata-mata. Tetapi dalam sistem yang membiarkan atau bertolak ansur dengan rasuah, kita akan terus berdepan dengan kebocoran yang besar.

“Mengapa perkara ini berlaku? Kerana tanggungjawab untuk membetulkan kelemahan dan kepincangan ini belum dilaksanakan sepenuhnya. Saya melihat kewangan Islam — dan secara lebih luas, ekonomi Islam — sebagai satu kerangka yang perlu kita manfaatkan. Saya merayu agar anda semua teruskan usaha ini.

“Instrumen-instrumen ini berperanan sebagai pelengkap kepada keseluruhan kerangka Maqasid Syariah — menyampaikan keuntungan dengan tujuan, dan pertumbuhan yang inklusif, yang tidak meninggalkan sesiapa pun. Maka, ini adalah isu yang sangat penting,” tambahnya.


#GIFF 2025 #tadbir urus Malaysia #kewangan Islam Malaysia #Anwar Ibrahim