PUTRAYA: Malaysia mengekalkan kedudukan ke-34 daripada 139 ekonomi dalam Indeks Inovasi Global 2026 (GII 2026) dengan skor keseluruhan meningkat 1.2 mata kepada 41.8 berbanding 40.6 tahun lepas.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, walaupun Malaysia mengekalkan kedudukan ke-34 dalam GII 2026, peningkatan skor keseluruhan daripada 40.6 kepada 41.8 mencerminkan kemajuan dalam keupayaan inovasi negara.
"Keutamaan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) adalah untuk memastikan kekuatan Malaysia dalam penyelidikan, bakat dan teknologi diterjemahkan kepada lebih banyak harta intelek tempatan, hasil penyelidikan dikomersialkan serta syarikat teknologi yang berdaya saing di peringkat global," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Chang berkata, Malaysia turut mengekalkan kedudukan kedua di Asia Tenggara selepas Singapura serta kedua dalam kalangan 35 ekonomi berpendapatan sederhana tinggi selepas China.
Beliau berkata, prestasi itu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara ekonomi inovasi utama dalam kalangan negara membangun.
Momentum positif turut dilihat apabila empat daripada tujuh tonggak GII bertambah baik berbanding 2025 dengan Institusi meningkat ke kedudukan ke-27, Infrastruktur ke-51, Kecanggihan Perniagaan ke-28 dan Output Pengetahuan dan Teknologi ke-32, manakala, Kecanggihan Pasaran kekal sebagai tonggak terbaik Malaysia pada kedudukan ke-19 dunia.
Chang berkata, Malaysia juga berada dalam kelompok terbaik dunia bagi beberapa indikator utama, termasuk tempat pertama bagi eksport dan import berteknologi tinggi, tempat ketiga bagi pembiayaan syarikat pemula dan syarikat sedang berkembang serta eksport barangan kreatif, tempat kelapan bagi graduan sains dan kejuruteraanndan tempat kesembilan bagi kestabilan dasar untuk menjalankan perniagaan.
Beliau berkata, kedudukan ekosistem inovasi negara turut diperkukuh melalui dua kluster yang tersenarai dalam kelompok terbaik dunia iaitu Kluster rentas sempadan Singapura Malaysia (Johor Bahru) kekal di kedudukan ke-16, manakala Kuala Lumpur berada di kedudukan ke-90 dalam senarai 100 Kluster Inovasi Terbaik Dunia 2026.
Selaras dengan tema GII 2026, Powering Entrepreneurs at the Frontier of Science, Chang berkata, bilangan syarikat pemula sains termaju Malaysia meningkat 116.7 peratus antara 2020 hingga 2025.
Katanya, perkembangan itu memperlihatkan potensi Malaysia untuk memperluas syarikat berasaskan sains dan teknologi ke pasaran serantau serta global.
Menurut beliau, MOSTI akan terus bekerjasama dengan kementerian, agensi, institusi pengajian tinggi, institusi penyelidikan, industri dan penyedia pembiayaan akan terus diperkukuh bagi meningkatkan pengkomersialan teknologi serta mewujudkan lebih banyak syarikat berpertumbuhan tinggi dan pekerjaan berkemahiran tinggi.
Beliau berkata, usaha berkenaan turut disokong melalui penyelarasan indikator, penetapan sasaran tahunan dan pelaksanaan intervensi yang boleh dipantau hingga 2030.
-- BERNAMA