Skip to main content

Malaysia

Glasgow 2026: Emas pertama Azizulhasni lengkapkan hari gemilang Malaysia

GLASGOW, 1 Ogos -- Jaguh berbasikal lelaki negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang bersama pingat emas yang dimenanginya dalam acara keirin lelaki di temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Sir Chris Hoy Velodrome hari ini._BERNAMA
Azizulhasni bersama pingat emas yang dimenanginya dalam acara keirin lelaki di temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Sir Chris Hoy Velodrome, Glasgow, 1 Ogos 2026. --fotoBERNAMA
Advertisement

GLASGOW: Kontinjen negara terus menuai kilauan pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 apabila jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang menghadiahkan pingat emas ketujuh Malaysia selepas menjuarai acara keirin lelaki di Veldrom Sir Chris Hoy di sini, malam tadi (Sabtu di Malaysia).

Kejayaan itu menjadi kemuncak aksi Malaysia semalam, sekali gus menyaksikan Azizulhasni meraih pingat emas pertamanya di pentas Sukan Komanwel pada penampilan terakhirnya di temasya berkenaan.

Pelumba kelahiran Terengganu berusia 38 tahun itu mempamerkan pengalaman serta kebijaksanaan taktikal untuk menewaskan pencabar yang memiliki kelebihan dari segi kuasa kayuhan sebelum meraikan kemenangan penuh emosi sebaik melintasi garisan penamat.

Emas berkenaan turut menyamai pencapaian tujuh emas yang diraih Malaysia pada edisi Birmingham 2022, meskipun Glasgow 2026 mempertandingkan lebih sedikit acara selain tidak melibatkan beberapa sukan tradisi penyumbang pingat negara seperti badminton, terjun, skuasy dan gimrama.

Terdahulu, pelumba berbasikal trek wanita Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang membuat penampilan kedua di Sukan Komanwel hampir menghadiahkan satu lagi pingat buat negara dalam acara pecut wanita, namun terpaksa berpuas hati di tempat keempat selepas tewas 0-2 kepada pelumba Wales, Rhian Edmunds dalam penentuan pingat gangsa.

Seorang lagi wakil negara Nur Alyssa Mohd Farid yang membuat penampilan sulung, menduduki tempat ke-15 pada pusingan kelayakan sebelum tersingkir pada pusingan berikutnya.

Sementara itu, kem angkat berat negara menutup tirai saingan sebagai penyumbang terbesar pingat kontinjen selepas meraih lima emas, satu perak dan satu gangsa sepanjang pertandingan di Scottish Event Campus Armadillo.

Kejayaan itu turut mendapat pengiktirafan apabila Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dianugerahkan Trofi Trafalgar buat julung kalinya selepas skuad lelaki negara dinobatkan sebagai pasukan angkat berat lelaki terbaik pada temasya kali ini.

Lima emas negara disumbangkan Mohamad Aniq Kasdan, Muhamad Aznil Bidin, Muhammad Erry Hidayat, Muhammad Hafizuddin Roslin dan Mohamad Syahmi Nor Ghazali.

Dua lagi emas disumbangkan jaguh lompat jauh para Datuk Abdul Latif Romly menerusi acara T20 lelaki dan Azizulhasni dalam acara keirin lelaki.

Tiga pingat perak pula diraih Izzat Shameer Dzulkeple menerusi acara singles lelaki boling padang, gandingan Aleena Ahmad Nawawi-Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman dalam acara pairs wanita serta atlet angkat berat wanita negara Siti Aqilah Farhana Draman dalam kategori +86 kilogram.

Tiga pingat gangsa negara setakat ini disumbangkan Bonnie Bunyau Gustin dalam acara para powerlifting, Irene Jane Henry dalam angkat berat dan Eljoe Gotuoh menerusi acara lompat jauh T20 lelaki.

Kejayaan hari ini menyaksikan Malaysia mengumpul tujuh emas, tiga perak dan tiga gangsa, sekali gus melepasi sasaran awal 5-2-4 yang ditetapkan sebelum temasya bermula.

Peluang menambah kutipan pingat masih terbuka menerusi beberapa acara yang masih berbaki, termasuk pecut lelaki dan ujian masa 1,000 meter yang bakal disertai Azizulhasni selain beberapa lagi acara berbasikal trek.

Australia terus mengungguli carta kutipan pingat dengan 55 emas, 30 perak dan 43 gangsa, diikuti England (17-34-29 dan Kanada (17-15-21), manakala Malaysia berada di tangga kelapan.

Sukan Komanwel Glasgow 2026 dijadual melabuhkan tirainya Ahad ini.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement