MALAYSIA

GLC, swasta diseru jadikan program tempat kerja bebas dadah piawaian operasi - KM P.Pinang

Bernama 08/12/2025 | 15:00 MYT
Chow berkata program TEKAD bukan sekadar prosedur pematuhan undang-undang, sebaliknya merupakan satu pelaburan penting untuk masa depan organisasi. - Gambar Pejabat Menteri Chow Kon Yeow
GEORGE TOWN: Semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor swasta dan industri di negeri ini diseru menjadikan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) sebagai piawaian operasi dan bukan program sampingan.


Ringkasan AI
  • Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) perlu dijadikan piawaian operasi oleh semua syarikat GLC, sektor swasta, dan industri sebagai pelaburan penting untuk masa depan organisasi.
  • Pekerja yang bebas daripada dadah mampu meningkatkan produktiviti, mengurangkan risiko kemalangan, serta memelihara imej organisasi, menyumbang kepada pembangunan modal insan yang sihat dan teguh integritinya.
  • Kejayaan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam melaksanakan TEKAD membuktikan keperluan kepimpinan yang jelas, dasar yang tegas, serta komitmen organisasi untuk memelihara kebajikan pekerja dan nilai integriti dalam operasi harian, memberi contoh kepada organisasi lain di negeri tersebut.


Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata program TEKAD bukan sekadar prosedur pematuhan undang-undang, sebaliknya merupakan satu pelaburan penting untuk masa depan organisasi.

"Apabila pekerja bebas daripada pengaruh dadah, mereka mampu bekerja dengan lebih fokus, mengurangkan risiko kemalangan, meningkatkan produktiviti, memelihara imej organisasi serta menjadi aset yang bernilai kepada negeri dan negara.

"Di Pulau Pinang, kita sedang memacu pelbagai agenda pembangunan ekonomi, namun yang paling utama tetap melibatkan pembangunan modal insan, iaitu modal insan yang sihat fizikalnya, stabil emosinya dan teguh integritinya," katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Program TEKAD kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di sini hari ini.

PBAPP merupakan operator air pertama di Malaysia dan GLC negeri sulung yang menerima pengiktirafan berkenaan.

Chow berkata kejayaan PBAPP membuktikan kepimpinan yang jelas, dasar yang tegas dan komitmen organisasi berkenaan dalam memelihara kebajikan pekerja serta menegakkan nilai integriti dalam operasi harian.

Beliau berkata kejayaan PBAPP melaksanakan TEKAD dalam organisasi besar dengan lebih 1,500 pekerja membuktikan program berkenaan boleh dicontohi oleh banyak organisasi lain di seluruh negeri.

"Kita ingin melihat Pulau Pinang bukan sahaja maju, tetapi negeri yang rakyatnya sihat, produktif dan bebas daripada pengaruh dadah. Ini selari dengan gagasan Visi Penang2030," katanya.

-- BERNAMA




#GLC #bekalan air #integriti #PBAPP