MALAYSIA

Global Sumud Flotilla 2025: Kerajaan komited hulur bantuan, gerak usaha diplomatik - Ahmad Zahid

Faida Rahim 25/09/2025 | 08:58 MYT
Ahmad Zahid menegaskan bahawa keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan kerajaan, dan segala usaha akan digerakkan bagi memastikan mereka kembali dengan selamat. - Astro AWANI
SEPANG: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan komitmen kerajaan untuk membantu 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2025 ke Gaza, serta lebih 500 peserta rombongan dari pelbagai negara yang kini berdepan situasi mencabar di wilayah bergolak itu.

Beliau berkata, memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, Kerajaan akan menggerakkan usaha diplomatik melalui negara-negara sahabat yang berdekatan bagi memastikan keselamatan semua peserta misi terbabit.

“Kita akan meminta pertolongan daripada negara-negara yang berhampiran dan menjadi sahabat kita selama ini untuk membantu sedaya mungkin yang boleh, bukan sahaja 34 rakyat Malaysia yang berada di sana tetapi juga seluruh 500 ahli-ahli rombongan flotila supaya sesuatu dilakukan untuk menyelamatkan mereka,” katanya dalam sidang media pengaktifan Sumud Nusantara Command Center (SNCC) di MAPIM Central Warehouse di Sepang pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut memaklumkan beliau akan menghubungi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang kini berada di New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), bagi membincangkan langkah diplomatik yang boleh diambil segera.

Selain itu, beliau akan berbincang dengan Menteri Pertahanan Datuk Seri Khaled Nordin mengenai kaedah terbaik untuk melibatkan kementerian itu dalam usaha bantuan dan pemulangan peserta misi ke tanah air.

“Tadi saya berbincang, bagaimana jika misi ini telah selesai untuk membawa 34 ini pulang ke negara kita dan kita akan perincikan jenis dan bentuk bantuan yang akan kita berikan nanti,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid menegaskan bahawa keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia sentiasa menjadi keutamaan kerajaan, dan segala usaha akan digerakkan bagi memastikan mereka kembali dengan selamat.


#Global Sumud Flotilla #Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi #Gaza #Palestin #rejim Zionis