MALAYSIA
Global Sumud Flotilla akan masuk zon kuning, risiko dipintas tinggi - Fahmi

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil (kanan) melawat bilik gerakan Sumud Nusantara Command Centre di MAPIM Malaysia Central Warehouse, hari ini. - Foto Bernama
SEPANG: Kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) akan memasuki "zon kuning" dalam masa terdekat dan menghadapi risiko tinggi untuk dipintas tentera Israel, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Ringkasan AI
- Misi Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka memasuki zon kuning yang berisiko tinggi dipintas tentera Israel, dengan 34 rakyat Malaysia terlibat dalam pelayaran membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
- Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar sentiasa memantau keselamatan peserta misi, dan bersedia memberikan maklumat serta sokongan operasi bersama JPJ dan JPN.
- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyatakan sokongan penuh terhadap GSF dan Sumud Nusantara, sambil menegaskan dunia tidak boleh lagi berdiam diri terhadap tindakan rejim Zionis.
"Ini merupakan saat yang genting dan dijangkakan kemungkinan untuk berlaku pemintasan daripada pihak Israel itu adalah berkemungkinan besar.
"Memandangkan telah berlaku insiden di Tunisia dan beberapa insiden gangguan, kita perlu menjangkakan dalam zon kuning juga kemungkinan berlaku insiden," katanya pada sidang media selepas menerima taklimat berhubung misi tersebut.
Fahmi berkata kerajaan melalui Kementerian Luar sentiasa memantau pergerakan misi itu, bagi memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia yang terlibat dan Wisma Putra bersedia memberikan maklumat mengenai sebarang perkembangan terkini.
Beliau berkata kerajaan memberikan sokongan penuh kepada inisiatif GSF serta Sumud Nusantara.
"Kita berada dalam saat-saat yang sangat bersejarah, dunia tidak lagi akan berdiam diri membenarkan negara haram Israel dengan rejim Zionis untuk melakukan apa sahaja yang mereka mahukan," katanya.
Semasa lawatannya, Fahmi menerima taklimat terperinci mengenai status semasa misi tersebut dan berkesempatan untuk mengadakan panggilan video dengan tujuh warga Malaysia terlibat.
Pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan, selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami