[TERKINI] Zizi Kirana Ditahan oleh Israel – 13 Aktivis Malaysia Terputus Hubungan. Ikuti Laporan Langsung Sekarang!
MALAYSIA

Global Sumud Flotilla: Hanya tiga kapal bawa rakyat Malaysia masih ada hubungan

Bernama 02/10/2025 | 04:02 MYT
Secara keseluruhannya, sebanyak 10 kapal membawa 23 rakyat Malaysia dalam misi GSF menuju ke Gaza. - Gambar fail/Reuters
SEPANG: Hanya tiga kapal yang membawa rakyat Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) menuju ke Gaza masih disahkan belayar dan mengekalkan hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) setakat pukul 10 pagi ini.


Ringkasan AI
  • Tiga kapal GSF iaitu Fair Lady, Free Willy dan Inana masih berhubung dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), membawa enam rakyat Malaysia.
  • Dua kapal lain, Estrella dan Mikeno, terputus hubungan; status sama ada dipintas atau penumpang ditahan tentera Israel belum disahkan.
  • Sehingga 7.50 pagi, 12 rakyat Malaysia disahkan ditahan selepas kapal mereka memasuki zon merah, manakala empat lagi berada di kapal Jong sebagai pemerhati di luar zon merah.


Menurut data sistem pengesan SNCC, kapal terbabit ialah Fair Lady yang membawa Zainal Rashid Ahmad dan Ustaz Muhammad Abdullah, Free Willy (Muhammad Hareez Adzrami dan Dr Taufiq Mohd Razif) serta Inana (Razali Awang).

Bagaimanapun, dua kapal lain iaitu Estrella dan Mikeno yang turut membawa rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan. Status sama ada kedua-dua kapal itu telah dipintas atau penumpangnya ditahan tentera Israel masih belum dapat disahkan.

Mereka yang berada di atas kapal Estrella ialah PU Rahmat, Norhelmi, Mohd Asmawi dan Norazma, manakala Mikeno membawa seorang lagi rakyat Malaysia, Ardell Aryana.

Secara keseluruhannya, sebanyak 10 kapal membawa 23 rakyat Malaysia dalam misi GSF menuju ke Gaza.

Sehingga pukul 7.50 pagi waktu Malaysia, seramai 12 rakyat Malaysia disahkan ditahan tentera Israel selepas kapal mereka memasuki zon merah R3, kira-kira 100 batu nautika dari Gaza, malam tadi.

Empat rakyat Malaysia lain dilaporkan berada di atas kapal Jong sebagai pemerhati di luar zon merah, iaitu Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Mazian Seman, Serieffa Mushtafa Albakry dan Ariff Budiman.

-- BERNAMA



#Global Sumud Flotilla #rakyat Malaysia #Gaza #Israel #Pusat Kawalan Sumud Nusantara #terkini