[TERKINI] Zizi Kirana Ditahan oleh Israel – 13 Aktivis Malaysia Terputus Hubungan. Ikuti Laporan Langsung Sekarang!
MALAYSIA

Global Sumud Flotilla: Israel perlu dibawa ke ICC, ICJ - PPMM

Bernama 02/10/2025 | 08:00 MYT
PPMM menegaskan tindakan Israel melanggar Konvensyen Geneva Keempat, UNCLOS dan Peraturan Kemanusiaan Antarabangsa, serta mengklasifikasikannya sebagai jenayah perang. - Foto Reuters
KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menggesa agar tindakan pelanggaran undang-undang antabarangsa oleh Israel, perlu dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atau Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk diadili.


Ringkasan AI
  • Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menggesa tindakan Israel memintas dan menahan aktivis GSF di perairan antarabangsa dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atau Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
  • PPMM menegaskan tindakan Israel melanggar Konvensyen Geneva Keempat, UNCLOS dan Peraturan Kemanusiaan Antarabangsa, serta mengklasifikasikannya sebagai jenayah perang.
  • PPMM mendesak pembebasan segera rakyat Malaysia yang ditahan dan menggesa kerajaan serta badan antarabangsa seperti PBB dan OIC mengambil tindakan tegas terhadap Israel.


PPMM, yang berdiri teguh dalam solidariti bersama flotila bantuan kemanusiaan, Global Sumud Flotilla, turut mengecam sekerasnya-kerasnya tindakan melanggar undang-undang antarabangsa yang dilakukan tentera Israel (IDF) terhadap rakyat Malaysia, di perairan antarabangsa.

PPMM dalam kenyataan hari ini berkata flotila, yang membawa misi murni untuk memberikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza, sedang berada di perairan antarabangsa, di luar zon maritim Gaza yang disekat.

"Walaupun begitu, tentera Israel telah bertindak secara agresif, menahan dan mengancam rakyat Malaysia yang merupakan sebahagian daripada misi tersebut.

"Tindakan terkini penahanan dan penawanan sukarelawan dan aktivis kemanusiaan di perairan antarabangsa adalah satu pelanggaran undang-undang antarabangsa yang jelas dan tidak boleh diterima," kata kenyataan itu.

Menurut PPMM, tindakan itu satu satu jenayah perang dan pelanggaran terang-terangan terhadap beberapa instrumen undang-undang antarabangsa.

"Ia termasuk Konvensyen Geneva Keempat, yang melindungi orang awam dalam masa perang; Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS), yang menjamin kebebasan navigasi di perairan antarabangsa; dan Peraturan Kemanusiaan Antarabangsa (IHL), yang menggariskan perlindungan kepada misi bantuan kemanusiaan," kata kenyataan itu.

Justeru, PPMM menuntut agar rakyat Malaysia yang ditahan perlu dibebaskan serta-merta dan dikembalikan ke tanah air dengan selamat serta menyeru semua negara, terutamanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), mengutuk tindakan jenayah berkenaan dan mendesak Israel untuk mematuhi undang-undang antarabangsa.

PPMM turut menyeru tindakan segera dan efektif daripada kerajaan Malaysia menggunakan pelbagai saluran dan platform yang ada, termasuk ketegasan bagi pembebasan rakyat Malaysia yang ditahan secara salah oleh Pasukan Pendudukan Israel (IOF) di dalam misi Sumud Flotila tersebut.

Setakat 7.50 pagi tadi, dilaporkan 12 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan itu ditahan oleh Israel ketika pelayaran pasukan Global Sumud Flotilla (GSF) memasuki zon merah di perairan Gaza.

-- BERNAMA




#Global Sumud Flotilla #Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia #rakyat Malaysia #Gaza #Israel