GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
MALAYSIA

Global Sumud Flotilla: Keluarga terkesan baca hantaran tidak cukup 'masak', tertanya-tanya - KP SNCC

Asyraf Malik 03/10/2025 | 10:38 MYT
Sani Araby memberikan makluman mengenai keadaan keluarga delegasi Malaysia yang menyertai GSF dalam sidang media harian di Pusat Kawalan Sumud Nusantara di Sepang, Selangor pada Jumaat. -Gambar fail/Bernama
SEPANG: Keluarga kepada delegasi Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) kini ditempatkan di sebuah hotel serta diberikan sokongan menyeluruh, termasuk aspek moral, rohani, psikologi dan kebajikan.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) Datuk Sani Araby Abdul Alim, berkata langkah itu diambil bagi memastikan emosi dan kesejahteraan keluarga terus dipenuhi sementara menanti proses rundingan pembebasan delegasi Malaysia selesai.

"Mereka dalam keadaan yang serba tak tenang, menantikan pelbagai kemungkinan. Kita sudah diberikan mandat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya membantu keluarga ini dalam apa jua bentuk, termasuk sokongan psikologi dan semangat.

"Kami menyalurkan semua maklumat sahih dan terkini kepada keluarga ini kerana kami nampak agak penting untuk mereka menerima maklumat lebih awal.

"Mereka ini ada yang sudah terkesan apabila membaca pelbagai bentuk berita. Ada berita naratifnya bagus, ada hantaran yang tidak cukup masak menyebabkan mereka tertanya-tanya,” jelas Sani Araby dalam sidang media harian di Pusat Kawalan Sumud Nusantara, di sini pada Jumaat.

Dalam perkembangan lain, lima rakyat Malaysia dan seorang rakyat Brunei yang sebelum ini terlibat dalam misi kemanusiaan GSF selamat tiba di tanah air.

"Kesemua mereka akan memulakan tugas sukarelawan di SNCC mulai malam ini. Jumlah keseluruhannya lapan orang, termasuk seorang aktivis Brunei. Dua daripada lapan itu sudah berada di Amman, Jordan untuk membantu pihak perundangan kita

Difahamkan, mereka mempunyai masalah kesihatan dan tidak dapat terus mengikuti misi GSF, mereka telah diterbangkan dari Greece ke Malaysia.

Mereka adalah Tuan Mohamad Asri Tuan Hussein, Abdul Rahim Azhari, Muhammad Khairin Afiq Mohd Subkhi, Ahmad Safuan Ujar, Nur Ilham Fansuri Zainal Rashid dan warga Brunei Rezahmaisalamah Md Yusof.



#Global Sumud Flotilla #Sumud Nusantara Tracker #Sumud Flotilla Tracker #Anwar Ibrahim