GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
MALAYSIA

Global Sumud Flotilla: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan ditahan

Umavathi Ramayah 02/10/2025 | 14:13 MYT
Sani Araby Al-Kahery berkata, penahanan itu disahkan mengikut Standard Operating Procedure (SOP) apabila komunikasi dengan delegasi terputus dan terdapat visual menunjukkan mereka ditahan Israel Defence Forces (IDF). - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
SEPANG: Kesemua 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) disahkan ditahan pada jam 4.24 petang waktu Malaysia, kata Ketua Pengarah dan jurucakap rasmi Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Al-Kahery.


Ringkasan AI
  • Semua 23 delegasi Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) disahkan ditahan oleh Israel selepas komunikasi terputus dan visual menunjukkan mereka ditahan.
  • Empat kapal membawa sukarelawan Malaysia, termasuk Sirius dan Estrella, dilapor telah memasuki pelabuhan Ashdod di Ashkelon, Tel Aviv.
  • Pasukan perundangan di Jordan siap siaga bantu delegasi, sementara SNCC akan maklumkan perkembangan terkini kepada keluarga mereka.


Beliau berkata, penahanan itu disahkan mengikut Standard Operating Procedure (SOP) apabila komunikasi dengan delegasi terputus dan terdapat visual menunjukkan mereka ditahan Israel Defence Forces (IDF).

"Selepas 20 jam daripada insiden pintasan atau interpendasi pertama, SNCC mengesahkan pada jam 4.25 petang waktu Malaysia, kesemua 23 delegasi Malaysia diisytiharkan ditahan.

"(Pengisytiharan itu dibuat selaras dengan) Mengikut prosedur operasi standard (SOP), komunikasi dengan mereka terputus serta terdapat visual yang menunjukkan mereka ditahan pihak Israel Defence Forces (IDF)," katanya pada sidang media di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Sani Araby mengesahkan empat kapal yang membawa sukarelawan Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) telah memasuki pelabuhan Ashdod di Ashkelon, Tel Aviv.

Kapal-kapal terlibat itu katanya adalah Estrella Manual, Sirius, Alma, dan Huga.

"Laporan mengesahkan melihat kapal seperti Sirius dan Estrella telah mula masuk ke pelabuhan Ashdot dan SNCC menjangkakan kemungkinan sebahagian daripada delegasi telah dipindahkan ke darat.

Sani Araby memberitahu, pasukan perundangan di Jordan juga kini berada dalam keadaan siap siaga untuk mewakili delegasi Malaysia dalam sebarang proses soal siasat dan tindakan susulan yang diperlukan.

Beliau memberitahu, SNCC turut memaklumkan pihaknya akan segera mengadakan pertemuan dengan keluarga delegasi Malaysia bagi menyampaikan perkembangan terkini, memberikan jaminan sokongan penuh serta memastikan mereka dimaklumkan secara berterusan mengenai situasi semasa.





#Global Sumud Flotilla #misi kemanusian #Gaza #ditahan israel