[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla kini di zon berisiko tinggi menuju Gaza. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Global Sumud Flotilla: Misi dijangka memasuki Zon Merah 9 malam ini - Fahmi

Ernalisa Othman 01/10/2025 | 08:42 MYT
Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil ketika sidang media mingguan Kabinet di Menara Komunikasi hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka memasuki Zon Merah R3, kira-kira 100 batu nautika dari Gaza, pada jam 9 malam ini waktu Malaysia.


Ringkasan AI
  • Misi Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka memasuki Zon Merah R3 kira-kira 100 batu nautika dari Gaza pada jam 9 malam ini waktu Malaysia.
  • Pemantauan mengesan cubaan kapal Israel menghampiri flotila serta kehadiran lebih 10 dron di ruang udara, namun setakat ini tiada pintasan fizikal berlaku.
  • Kerajaan Malaysia menyeru rakyat terus mendoakan keselamatan misi yang membawa bantuan kemanusiaan dan mesej perdamaian ke Gaza, dengan siaran langsung dipancarkan untuk tontonan dunia.


Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu disahkan Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) menerusi laporan yang diterimanya.

“Saya baru sahaja menerima laporan dari Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby yang telah mengesahkan pada jam 8.45 pagi tadi waktu Malaysia berlaku cubaan kapal yang diyakini milik pihak rejim zionis Israel telah menghampiri flotila yang pada waktu ini masih berada di perairan antarabangsa.

“Tetapi bot-bot dalam Global Sumud Flotilla dijangka memasuki Zon Merah dalam tempoh mungkin beberapa jam dari sekarang.

“Perkembangan tersebut menjadi tumpuan kerana flotila kini semakin hampir dengan perairan bergolak Gaza,” katanya dalam sidang media mingguan di sini, pada Rabu.

Selain itu, katanya, pemantauan turut merekodkan kehadiran lebih 10 unit dron di ruang udara kawasan terbabit.

“Walaupun keadaan ini membimbangkan, setakat ini belum berlaku sebarang pintasan fizikal terhadap bot-bot flotila.

“Semua delegasi berada dalam keadaan berjaga-jaga termasuk persediaan sekiranya bot-bot mereka dipintas dan terputus hubungan dan beberapa perkara juga telah dmaklumkan dan kita akan ikut prosesnya,” katanya.

Beliau menjelaskan, siaran langsung menerusi CCTV di atas kapal telah dipancarkan untuk tontonan dunia, sekali gus membolehkan masyarakat antarabangsa mengikuti rapat perkembangan misi berkenaan.

“Kerajaan Malaysia menyeru rakyat agar terus mendoakan keselamatan para peserta serta kejayaan misi flotila ini yang digerakkan untuk membawa bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza,” katanya.

Tambahnya, misi GSF juga memainkan peranan penting dalam membina naratif perdamaian di Gaza di samping mengetengahkan solidariti masyarakat antarabangsa terhadap penderitaan rakyat Palestin.

Flotila antarabangsa itu kini memasuki fasa ketiga, dengan penyertaan lebih ramai aktivis kemanusiaan termasuk dari Malaysia. Ia digerakkan bersama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyalurkan bantuan terus ke Gaza.

Misi dan pergerakan semasa kumpulan ini juga boleh diikuti menerusi 'Sumud Nusantara Flotilla Tracker'.






#memasuki Zon Merah R3 #Fahmi Fadzil #Global Sumud Tracker #Berita Terkini Global Sumud Flotilla #Global Nusantara Tracker