[TERKINI] Zizi Kirana Ditahan oleh Israel – 13 Aktivis Malaysia Terputus Hubungan. Ikuti Laporan Langsung Sekarang!
MALAYSIA

Global Sumud Flotilla: Pemimpin, rakyat Malaysia kecam tindakan Israel pintas misi kemanusiaan

Bernama 02/10/2025 | 05:30 MYT
Sehingga 7.50 pagi, 12 rakyat Malaysia disahkan ditahan tentera Israel selepas kapal mereka memasuki zon merah.
KUALA LUMPUR: Tindakan rejim Israel memintas konvoi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza awal pagi tadi terus mendapat kecaman rakyat Malaysia, termasuk pemimpin negeri yang menzahirkan solidariti bersama aktivis terbabit.


Ringkasan AI
  • Pemimpin negeri termasuk Terengganu, Melaka, Pahang dan Selangor mengecam tindakan Israel memintas konvoi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza dan menyeru rakyat berdoa untuk keselamatan aktivis.
  • Kerajaan negeri menekankan keperluan langkah segera seperti jaminan keselamatan melalui saluran antarabangsa, saluran maklumat konsular, dan siasatan terhadap ancaman terhadap misi kemanusiaan.
  • Sehingga 7.50 pagi, 12 rakyat Malaysia disahkan ditahan tentera Israel selepas kapal mereka memasuki zon merah kira-kira 100 batu nautika dari Gaza.


Di TERENGGANU, kerajaan negeri menyeru rakyat Malaysia untuk terus berdoa demi keselamatan semua aktivis GSF, termasuk dua anak jati negeri itu iaitu Nurfarahin Romli atau Farah Lee dan Rusydi Ramli, yang antara ditahan rejim Israel.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata tindakan Israel bukan sahaja tidak berperikemanusiaan, malah jelas mencabuli prinsip hak asasi manusia, undang-undang antarabangsa serta menafikan hak rakyat Palestin untuk menerima bantuan

"Tindakan tidak berperikemanusiaan ini sekali lagi memperlihatkan sikap angkuh rejim Zionis terhadap undang-undang dunia.

"Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus berdoa demi keselamatan semua aktivis yang ditahan serta mendoakan agar kapal-kapal lain yang masih dalam perjalanan dapat selamat tiba ke Gaza dan menyalurkan bantuan kepada rakyat yang menderita," katanya dalam kenyataan hari ini.

Di MELAKA, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh turut mengecam tindakan Israel sambil menyeru kerajaan Persekutuan memberi keutamaan terhadap perlindungan dan keselamatan warganegara Malaysia yang terlibat.

Beliau menekankan tiga langkah segera yang wajar diambil iaitu memastikan maklumat keselamatan dan konsular disalurkan segera, mendesak jaminan keselamatan melalui saluran antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah dan rakan diplomatik.

"Ketiga, menuntut siasatan antarabangsa terhadap apa-apa tindakan yang mengancam misi kemanusiaan yang dijalankan secara aman dan menegaskan hak asasi serta perlindungan warga awam dan sukarelawan," katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya hari ini.

Di PAHANG, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut menyeru rakyat di negeri itu untuk bersama-sama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF.

"Kita sentiasa menyeru supaya segala bantuan kepada mereka yang seagama dengan kita mendapat perlindungan daripada Allah SWT," katanya selepas merasmikan Seminar Aspirasi Pahang 1st Tingkatan 6 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, hari ini.

Di SELANGOR, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari mengecam keras tindakan tentera rejim Israel menceroboh kapal sukarelawan GSF.

"Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan bacul ini dan menggesa agar semua sukarelawan yang ditahan dibebaskan segera," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sehingga 7.50 pagi tadi waktu Malaysia, 12 rakyat Malaysia disahkan ditahan tentera Israel selepas kapal mereka memasuki zon merah R3, kira-kira 100 batu nautika dari Gaza, malam tadi.

-- BERNAMA




#Global Sumud Flotilla #rakyat Malaysia #Gaza #Israel #bantuan kemanusiaan #terkini