Global Sumud Flotilla: 443 aktivis ditahan Israel di laut antarabangsa, termasuk 15 rakyat Malaysia. Ikuti perkembangan terkini di sini
MALAYSIA

Global Sumud Flotilla: Pendekatan diplomasi, bukan ketenteraan lebih wajar diguna - Khaled Nordin

Bernama 02/10/2025 | 09:46 MYT
Mohamed Khaled bercakap pada sidang media selepas Majlis Penutupan Program Jalinan dan Jaringan Pendidikan Komuniti serta Town Hall PIBKS/PIBG Peringkat Daerah Kota Tinggi 2025 hari ini. - Foto Bernama
KOTA TINGGI: Pendekatan diplomatik dilihat sebagai langkah paling sesuai dan wajar digunakan dalam mengendalikan isu penahanan rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF), bagi memastikan keselamatan dan nyawa mereka terpelihara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pendekatan ketenteraan tidak boleh menjadi pilihan, kerana ia berisiko mengancam keselamatan dan nyawa tahanan yang kini dalam tahanan pihak berkuasa Israel.

"Kalau kita guna saluran ketenteraan, kita jauh. Bagaimana keselamatan dan nyawa mereka yang ditahan? Oleh itu, rakyat perlu faham dan beri sokongan penuh terhadap usaha yang sedang diusahakan oleh Perdana Menteri melalui kaedah diplomasi. Jangan sensasikan perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jalinan dan Jaringan Pendidikan Komuniti dan Town Hall Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS)/Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Peringkat Daerah Kota Tinggi di sini hari ini.

Mohamed Khaled menegaskan bahawa Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik secara langsung dengan Israel, justeru usaha rundingan melalui pihak ketiga amat penting dalam memastikan kebajikan serta keselamatan rakyat Malaysia yang terlibat.

"Sebab itu kita guna saluran diplomatik kita hubungi rakan-rakan seperti Palestin, Mesir, Turkiye dan Qatar. Apabila ada mesyuarat, kita hadir.

"Kita mahu wujudkan hubungan...apabila ada hubungan, kita jadi sahabat sejati. Dalam saat seperti ini, sahabat akan bantu. Itulah maksud diplomasi," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa sebelum ini, kerajaan Malaysia pernah diminta oleh negara lain, termasuk Thailand, untuk membantu berhubung dengan pihak-pihak berkaitan seperti Palestin dan Mesir dalam usaha menyelamatkan tawanan mereka.

Sehubungan itu, beliau berkata Perdana Menteri wajar diberi ruang sepenuhnya untuk menguruskan perkara tersebut menerusi saluran diplomatik yang sedang diusahakan.

"Jangan mengeruhkan (keadaan), jangan berdemonstrasi, kita nak rakyat kita selamat," katanya.

Misi kemanusiaan GSF disertai oleh sukarelawan dari pelbagai negara termasuk Malaysia, yang belayar menuju ke Gaza dengan membawa bekalan bantuan asas untuk rakyat Palestin yang terkesan akibat serangan berterusan rejim Zionis.

Setakat pukul 3.39 petang ini, 15 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan itu telah ditahan secara tidak sah oleh Israel, ketika pelayaran GSF memasuki zon merah di perairan Gaza.

-- BERNAMA




#Global Sumud Flotilla #rakyat Malaysia #Mohamed Khaled Nordin #Gaza #Israel