Global Sumud Flotilla: 443 aktivis ditahan Israel di laut antarabangsa, termasuk 15 rakyat Malaysia. Ikuti perkembangan terkini di sini
MALAYSIA

Global Sumud Flotilla: Ribuan warga Malaysia berhimpun di hadapan Kedutaan AS

Seth Akmal 02/10/2025 | 10:22 MYT
Orang ramai berarak menuju ke Kedutaan Amerika bagi menyatakan solidariti terhadap SUMUD Flotila. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Ribuan peserta membanjiri jalan raya di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat bagi menyatakan sokongan ke atas sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF).


Ringkasan AI
  • Ribuan peserta berhimpun di hadapan Kedutaan AS di Kuala Lumpur bagi menyatakan sokongan kepada sukarelawan GSF dan membantah tindakan Israel memintas konvoi kemanusiaan ke Gaza.
  • Peserta melaungkan slogan pro-Palestin dan menggesa AS mendesak Israel membebaskan sukarelawan; pemimpin politik seperti Dr Maszlee Malik dan Datuk Armand Azha turut hadir menyerahkan memorandum bantahan.
  • Setakat jam 7.50 pagi, 17 sukarelawan Malaysia dilaporkan terputus hubungan selepas kapal mereka dipintas, termasuk PU Rahmat yang sebelum ini menyertai misi GSF.


Orang ramai dari pelbagai organisasi dan persatuan mula berkumpul sekitar jam 4 petang kira-kira 100 meter dari kedutaan sebelum mula berarak menuju ke lokasi himpunan.

Peserta melaungkan slogan “hidup Palestin”, “hidup sumud”, “hancur Israel” dan “bebaskan Palestin” sebagai tindakan solidariti kepada warga Gaza.

Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan atau lebih mesra disapa Imam Muda Asyraf berkata himpunan yang diadakan ini disifatkan telah menyatukan seluruh warga Malaysia.

“Seperti kata PU Rahmat, satu hari nanti kita semua akan bersatu atas nama kemanusiaan dan warga Gaza,” katanya.

PU Rahmat atau Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan antara 23 warga Malaysia yang terlibat dengan misi kemanusiaan GSF untuk menghantar bantuan ke Gaza.

Menurut Pusat Sumud Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) setakat jam 7.50 waktu Malaysia, 17 sukarelawan negara tidak dapat dihubungi selepas kapal mereka dipintas.

Sehingga jam 5.30 petang orang ramai masih berkumpul di hadapan kedutaan dan menyatakan bantahan mereka sambil menggesa agar pihak Amerika Syarikat mendesak rejim Zionis Israel untuk membebaskan sukarelawan yang ditahan.

Pemimpin politik seperti Muhammad Kamil Abdul Munim, Maszlee Malik dan Datuk Armand Azha Abu Hanifah antara yang terlibat menghantar memorandum bantahan ke pihak kedutaan.

Namun difahamkan tiada wakil dari pihak kedutaan yang menerima memorandum tersebut sebaliknya dokumen tersebut hanya diletakkan di peti surat.





#Global Sumud Flotilla #membanjiri jalan raya #Kedutaan Amerika Syarikat #Gaza #Israel #terkini