[TERKINI] Zizi Kirana Ditahan oleh Israel – 13 Aktivis Malaysia Terputus Hubungan. Ikuti Laporan Langsung Sekarang!
MALAYSIA

Global Sumud Flotilla: Sukarelawan ikut SOP keselamatan, buang telefon elak data dipintas

Ernalisa Othman 02/10/2025 | 06:49 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia Datuk Ahmad Sani Araby Al-Kahery pada sidang media keadaan terkini Misi Global Sumud Flotilla di Pusat Gerakan Sumud Nusantara . - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
SEPANG: Sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) dilatih untuk membuang telefon ke laut sebagai langkah keselamatan sekiranya kapal ditahan tentera Israel.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Al-Kahery berkata, prosedur itu digariskan bagi mengelakkan data peribadi dan maklumat sensitif dipintas pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, SOP tersebut telah diterangkan dan dipraktikkan kepada semua delegasi sebelum mereka memulakan pelayaran.

“Setakat ini, maklumat yang kita terima daripada delegasi Malaysia mengesahkan ada antara mereka yang sudah membuang telefon masing-masing. Semuanya berada dalam keadaan baik dan tiada yang cedera,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media perkembangan terkini Sumud Flotilla di sini, pada Khamis.

Beliau menambah, SOP itu juga hasil latihan intensif yang dijalankan di Itali, Barcelona, Tunisia dan Greece melalui bengkel non-violence.

Selain itu, sukarelawan turut diingatkan supaya mengangkat tangan sekiranya ditahan atau diserang bagi menunjukkan mereka tidak bersenjata.

“Melalui rakaman CCTV, kita dapat lihat mereka berkumpul di atas dek dengan tangan diangkat sebagai tanda bahawa mereka adalah masyarakat sivil,” jelasnya.

Sani Araby menegaskan, keputusan membuang telefon atau tindakan keselamatan lain adalah bergantung kepada arahan kapten kapal.

Langkah itu katanya penting untuk mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku di tengah laut.

Beliau juga yakin tiada kekerasan keterlaluan digunakan Israel memandangkan flotila turut disertai delegasi antarabangsa dari 45 negara, termasuk Turkiye, negara anggota NATO.

“Untuk kali ini, antara sebab mereka tidak bertindak agresif adalah kerana dunia sedang memerhati,” katanya.

SNCC melalui pemantauan radar mendapati formasi bulatan kapal flotila kini diiring keluar oleh tentera Israel ke arah lokasi yang belum dapat dikenal pasti.


#Berita Terkini Global Sumud Flotilla #Sumud Nusantara Tracker #aktivis Malaysia ditahan rejim Israel #Sani Araby Al-Kahery