MALAYSIA
Global Sumud Flotilla: Tiada delegasi Malaysia terlibat serangan, semua selamat - Fahmi

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil ketika sidang media mingguan Kabinet di Menara Komunikasi hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Tiada delegasi dan aktivis Malaysia terlibat dalam insiden serangan ke atas misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) di Perairan Tunisia, dan kesemua mereka disahkan selamat.
Ringkasan AI
- Tiada delegasi Malaysia terlibat dalam serangan ke atas misi Global Sumud Flotilla (GSF) di perairan Tunisia; semua peserta Malaysia disahkan selamat.
- Kerajaan kecam serangan dron terhadap dua bot misi kemanusiaan, yang disifatkan tidak berperikemanusiaan dan bertujuan menghalang usaha memecahkan kepungan Gaza.
- MAPIM dan Cinta Gaza Malaysia aktifkan pusat koordinasi media di Sepang untuk menyelaras maklumat misi; serangan menyebabkan kerosakan pada kapal tetapi tiada korban.
Jelas beliau, kerajaan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan serangan dron ke atas dua bot misi kemanusiaan, yang berlaku dalam tempoh kurang 24 jam.
"Tindakan serangan ini adalah bacul, tidak berperikemanusiaan, melanggar undang-undang antarabangsa dan langsung tidak menghormati nilai-nilai sejarah.
"Ia juga percubaan untuk menghalang, menakut-nakutkan dan melemahkan misi aman yang bertujuan memecahkan kepungan Gaza dan menyampaikan mesej solidariti dari dunia buat rakyat Palestin khusus mereka yang berada di Gaza," katanya dalam Sidang Media Mingguan di sini pada Rabu.
Dalam masa sama, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan memaklumkan bahawa MAPIM Malaysia dan Cinta Gaza Malaysia (CGM) akan mengaktifkan Malaysia Flotilla Mission Media Coordination Center yang beroperasi di MAPIM Central Warehouse di Sepang bagi menyelaras maklumat dan komunikasi berhubung perkembangan misi.
Salah sebuah kapal utama Flotilla dikenali sebagai “mother boat” yang membawa ahli jawatankuasa pemandu misi, sebelum ini dilapor menjadi sasaran serangan dron di perairan Tunisia.
Serangan itu menyebabkan kerosakan pada dek utama dan ruang simpanan, namun kesemua penumpang dilaporkan selamat.
Sementara itu, media hari ini melaporkan kapal Alma pula menjadi sasaran serangan dron ketika berlabuh di perairan Tunisia.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami