Global Sumud Flotilla: 443 aktivis ditahan Israel di laut antarabangsa, termasuk 15 rakyat Malaysia. Ikuti perkembangan terkini di sini
MALAYSIA

Global Sumud Flotilla: Wakil Kedutaan AS enggan terima memorandum bantahan penahanan aktivis

Shafiqa Azami 02/10/2025 | 10:35 MYT
Muhammad Kamil (tengah) memaklumkan, pihak kedutaan enggan menerima memorandum atas alasan keselamatan, meskipun polis telah memberi jaminan kawalan penuh di kawasan berkenaan. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Wakil Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara tidak keluar dari bangunan kedutaan dan enggan menerima memorandum bantahan berkaitan penahanan aktivis Misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.


Ringkasan AI
  • Wakil Kedutaan AS enggan menerima memorandum bantahan berkaitan penahanan aktivis GSF atas alasan keselamatan, walaupun polis memberi jaminan kawalan penuh.
  • Memorandum mengandungi tiga tuntutan: pembebasan segera sukarelawan, jaminan keselamatan aktivis tidak bersenjata, dan penolakan pelan pembangunan Gaza yang diketepikan suara rakyat Palestin.
  • Lebih 1,000 rakyat Malaysia berhimpun di hadapan Kedutaan AS, melaungkan slogan pro-Palestin; himpunan aman akan diteruskan esok selepas solat Jumaat sebagai tanda solidariti.


Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim memaklumkan, pihak kedutaan enggan menerima memorandum atas alasan keselamatan, meskipun pihak polis telah memberi jaminan kawalan penuh di kawasan berkenaan.

Memorandum itu mengandungi tiga tuntutan utama, iaitu mendesak pembebasan segera semua sukarelawan yang ditahan, jaminan keselamatan aktivis tidak bersenjata, serta penolakan terhadap cadangan Washington mengenai pelan pembangunan Gaza yang dilihat mengetepikan suara rakyat Palestin.

“Selain daripada menyuarakan bantahan kita terhadap insiden yang berlaku awal pagi tadi, kita juga mendesak Amerika Syarikat menggunakan pengaruhnya ke atas Israel supaya membenarkan flotila kemanusiaan masuk ke perairan Gaza dan menyalurkan bantuan kepada penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa perhimpunan membantah kekejaman rejim Zionis di hadapan Kedutaan AS, di sini pada Khamis.

Muhammad Kamil menambah, himpunan aman akan diteruskan esok (2 Oktober) selepas solat Jumaat dan peserta akan berarak ke lokasi yang sama sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Lebih 1,000 rakyat Malaysia mengadakan himpunan di hadapan Kedutaan AS petang tadi sambil melaungkan perkataan “hancur Zionis, bebas flotila” sebagai manifestasi bantahan terhadap tindakan zalim rejim Israel.

Protes itu digerakkan selepas 15 rakyat Malaysia yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza ditahan berikutan kapal mereka dipintas Tentera Pertahanan Israel (IDF) pada awal pagi tadi.





#Global Sumud Flotilla #Kedutaan Amerika Syarikat #memortndum bantahan #Gaza #Israel