[TERKINI] Zizi Kirana Ditahan oleh Israel – 13 Aktivis Malaysia Terputus Hubungan. Ikuti Laporan Langsung Sekarang!
MALAYSIA

Global Sumud Flotilla: ZRA sahkan kapal ditahan tentera Israel

Sinar Harian 02/10/2025 | 05:05 MYT
Tangkap layar rakaman awal Zainal sebelum beliau disahkan ditahan sekitar jam 4 pagi waktu Gaza bersamaan 9 pagi waktu Malaysia. - Facebook ZRA Strim
SHAH ALAM: Aktivis kemanusiaan dan bekas wartawan, Zainal Rashid Ahmad mengesahkan kapal dinaiki mereka iaitu Fair Lady ditahan tentera Israel sekitar jam 4 pagi waktu Gaza bersamaan 9 pagi waktu Malaysia.


Ringkasan AI
  • Kapal Fair Lady yang dinaiki Zainal Rashid Ahmad dan Ustaz Muhammad Abdullah ditahan tentera Israel sekitar jam 4 pagi waktu Gaza (9 pagi Malaysia) selepas terpisah daripada kumpulan flotilla kerana kerosakan enjin.
  • Zainal memaklumkan mereka selamat, masih bersemangat meneruskan misi break the siege, dan menjelaskan kapal mereka bukan sasaran utama kerana tiada aktivis dalam senarai hitam Israel.
  • Sepanjang misi, Zainal menghasilkan lebih 30 video yang meraih lebih 25 juta tontonan di TikTok dan Facebook, sebagai usaha menyebarkan maklumat dan menyokong kempen Global Sumud Flotilla.


Zainal menerusi hantaran 'voice note' kepada Sinar Harian sekitar jam 10 pagi waktu Malaysia berkata, pasukannya yang terakhir tiba di lokasi kumpulan besar flotilla ditahan tentera Zionis disebabkan kapal rosak dalam perjalanan.

Kata beliau, ia beberapa jam selepas tindakan (memintas) dilakukan ke atas kapal Malaysia yang pertama.

"Kami hanya sampai empat jam kemudian, jadi ketika dikesan kami berada jauh kira-kira 20 kilometer daripada kapal-kapal lain yang bergerak serentak. Kami masuk ke kawasan perairan 51 batu nautika dari Israel.

"Di situlah flotilla (Fair Lady) kami dihalang sebuah kapal Israel dan diarahkan berhenti. Kami jelaskan bahawa kami adalah konvoi kemanusiaan. Mungkin kerana kapal kami kecil dan bukan sasaran utama, tiada orang buruan atau aktivis dalam senarai hitam mereka.

"Selepas kira-kira tiga minit kami membuat penjelasan, mereka hanya meminta kami tunggu dan tidak bergerak ke mana-mana. Jadi, lokasi kami jauh daripada kapal lain yang bergerak lebih hampir kerana keadaan enjin kapal mereka bagus," katanya pada Khamis.

Zainal yang mesra dipanggil ZRA menaiki Fair Lady bersama Muhammad Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Kechik dari MyCare Terengganu, disertai dua kru kapal iaitu kapten dan pembantu jurumudi.

Turut bersama ialah penyelaras dari Afrika Selatan dan aktivis gerakan global untuk Gaza dari Mexico, menjadikan kesemuanya enam orang.

Zainal turut memaklumkan dirinya sihat dan pasukan masih bersemangat untuk meneruskan misi ''break the seige'.

Beliau berpendapat, tugasnya sebagai wartawan yang menyampaikan maklumat kepada rakyat Malaysia mengenai perjalanan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) boleh dianggap satu kejayaan, bertepatan hasrat untuk memecah kepungan.

Jelas beliau, sekurang-kurangnya 30 video telah dihasilkannya sepanjang misi dan kini ia mencapai lebih 25 juta tontonan.

Beliau menambah, usaha kecil sebegitu diharap dapat membantu kempen GSF melalui gabungan Sumud Nusantara dengan memastikan 25 juta rakyat Malaysia boleh berkongsi capaian menerusi kandungan yang dimuatnaik di TikTok dan Facebook. -- Sinar Harian





#Global Sumud Flotilla