Skip to main content

Malaysia

Goldman Sachs setuju bayar AS$500 juta selesai saman pemegang saham berkaitan 1MDB

A screen displays the the company logo for Goldman Sachs on the floor at the New York Stock Exchange (NYSE) in New York City, U.S., May 7, 2025. REUTERS/Brendan McDermid/File Photo
Goldman Sachs bersetuju membayar AS$500 juta bagi menyelesaikan saman yang dikemukakan pemegang saham berhubung dakwaan bank pelaburan itu mengelirukan pelabur mengenai peranannya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

NEW YORK: Goldman Sachs bersetuju membayar AS$500 juta bagi menyelesaikan saman yang dikemukakan pemegang saham berhubung dakwaan bank pelaburan itu mengelirukan pelabur mengenai peranannya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penyelesaian tersebut didedahkan menerusi pemfailan di Mahkamah Persekutuan Manhattan, selepas kedua-dua pihak sebelum ini memaklumkan telah mencapai persetujuan, namun tanpa mendedahkan jumlahnya.

Menurut peguam yang mewakili kumpulan pemegang saham, diketuai dana pencen Sweden, Sjunde AP-Fonden, penyelesaian berkenaan disifatkan sebagai satu hasil yang “amat baik” kepada pihak plaintif. 

Bagaimanapun, ia masih tertakluk kepada kelulusan mahkamah.

Setakat ini, Goldman Sachs belum mengeluarkan sebarang maklum balas rasmi berhubung penyelesaian tersebut.

Skandal 1MDB menjadi antara kes kewangan terbesar dunia, membabitkan dana kekayaan negara Malaysia yang ditubuhkan bagi merangsang pembangunan ekonomi. Ia diasaskan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dengan bantuan ahli perniagaan Jho Low, yang kini masih menjadi buruan pihak berkuasa.

Pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Malaysia sebelum ini menyatakan kira-kira AS$4.5 bilion diseleweng daripada dana tersebut, dengan sebahagiannya dipindahkan ke akaun luar pesisir dan syarikat cangkerang yang dikaitkan dengan Jho Low.

Dalam tempoh itu, Goldman Sachs membantu 1MDB menerbitkan bon bernilai AS$6.5 bilion, sekali gus mengaut anggaran yuran sekitar AS$600 juta.

Pemegang saham mendakwa bank itu memberikan gambaran mengelirukan mengenai tahap pengurusan risiko serta pendedahannya terhadap penipuan berkenaan, sedangkan mereka mendakwa Goldman berperanan secara aktif dan meraih keuntungan besar daripada aktiviti tersebut.

Kesan daripada pendedahan itu turut menyaksikan harga saham Goldman menjunam apabila pelabur mula memahami tahap sebenar penglibatan bank tersebut.

Pada 2020, Goldman Sachs bersetuju membayar penalti sebanyak AS$2.9 bilion serta membenarkan unitnya di Malaysia mengaku bersalah bagi menyelesaikan siasatan jenayah berkaitan 1MDB oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dan pihak berkuasa lain.

Kes jenayah terhadap Goldman di Amerika Syarikat secara rasmi ditamatkan pada Mei 2024 selepas bank itu memenuhi syarat perjanjian penangguhan pendakwaan selama tiga tahun.

Dalam perkembangan berkaitan, dua pegawai Goldman turut berdepan tindakan undang-undang, dengan seorang disabitkan kesalahan manakala seorang lagi mengaku bersalah membantu penyelewengan dana berkenaan.

Must Watch Video

Advertisement