NEW YORK: Bank pelaburan Wall Street, Goldman Sachs bersetuju untuk menyelesaikan saman berkumpulan yang menuduhnya menipu pemegang saham berhubung peranannya dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut dokumen difailkan di mahkamah persekutuan Manhattan, kedua-dua pihak mencapai persetujuan awal dan merancang mengemukakan penyelesaian untuk kelulusan awal menjelang 20 Mei ini.
Advertisement
Bagaimanapun, terma penyelesaian tidak didedahkan, manakala Goldman Sachs enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Peguam yang mewakili pemegang saham, termasuk dana pencen Sweden Sjunde AP-Fonden, juga belum memberikan maklum balas rasmi.
1MDB sebelum ini ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi memacu pembangunan ekonomi negara.
Namun, dana itu kemudiannya terpalit skandal rasuah besar melibatkan ahli perniagaan Malaysia, Jho Low yang kini masih diburu pihak berkuasa.
Pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Malaysia menyatakan kira-kira AS$4.5 bilion (lebih RM21 bilion) telah diseleweng daripada 1MDB, termasuk dipindahkan ke akaun luar pesisir dan syarikat cangkerang yang dikaitkan dengan Jho Low.
Goldman Sachs membantu 1MDB menerbitkan bon bernilai AS$6.5 bilion dan memperoleh anggaran yuran sebanyak AS$600 juta.
Pemegang saham mendakwa bank itu mengelirukan pelabur mengenai peranannya dalam penipuan tersebut, sambil mendakwa mempunyai sistem pengurusan risiko yang kukuh.
Pada 2020, Goldman Sachs bersetuju membayar penalti sebanyak AS$2.9 bilion bagi menyelesaikan siasatan berkaitan 1MDB oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dan pihak berkuasa lain.
Kes jenayah di Amerika Syarikat terhadap Goldman Sachs ditamatkan secara rasmi pada Mei 2024 selepas bank itu memenuhi syarat perjanjian penangguhan pendakwaan selama tiga tahun.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pegawai bank Goldman telah disabitkan bersalah kerana membantu penyelewengan dana 1MDB, manakala seorang lagi mengaku bersalah.