Skip to main content

Malaysia

Golongan muda masih mahu berkahwin, mempunyai anak - Wan Azizah

KUALA LUMPUR, 30 Ogos - Isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan ucapan perasmian pada majlis sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, Cheras hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Wan Azizah berkata, golongan muda tidak semestinya menolak institusi perkahwinan atau kehidupan berkeluarga, sebaliknya memerlukan masa dan persediaan yang mencukupi sebelum membuat keputusan besar berkenaan. - Gambar/ Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Keinginan golongan muda untuk berkahwin dan mempunyai anak masih tinggi, namun cabaran seperti ketidakstabilan pekerjaan, kemampuan memiliki kediaman serta kesiapsiagaan kewangan dan emosi menyebabkan sebahagian daripada mereka memilih untuk menangguhkan hasrat membina keluarga.

Isteri Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata golongan muda tidak semestinya menolak institusi perkahwinan atau kehidupan berkeluarga, sebaliknya memerlukan masa dan persediaan yang mencukupi sebelum membuat keputusan besar berkenaan.

“Bukan kita menggalakkan mereka untuk berkahwin pada usia muda... sebaliknya, kita mahu siapkan mereka menjadi dewasa yang mampu membuat keputusan kehidupan dengan matang,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Cheras di sini hari ini.

Wan Azizah berkata berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kira-kira 467,000 penduduk Kuala Lumpur masih belum berkahwin manakala tinjauan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menunjukkan 90 peratus responden bujang menyatakan hasrat untuk berkahwin atau hidup bersama pasangan.

Menurut Wan Azizah, kira-kira 91.1 peratus responden turut menyatakan hasrat untuk mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak, sekali gus menunjukkan keinginan untuk membina keluarga masih menjadi aspirasi dalam kalangan golongan muda.

Beliau bagaimanapun berkata perubahan pola dan struktur demografi yang berlaku perlu diberi perhatian kerana ia mempunyai kaitan langsung dengan pembentukan keluarga serta hala tuju generasi akan datang.

Sehubungan dengan itu, Wan Azizah berkata pelbagai inisiatif berkaitan pembangunan keluarga dilaksanakan bagi membantu golongan muda membuat persediaan yang lebih menyeluruh sebelum melangkah ke alam perkahwinan dan keibubapaan.

“Inisiatif itu termasuk pendidikan perkahwinan dan kekeluargaan, SmartStart, pendidikan keibubapaan, kaunseling perkahwinan dan keluarga serta pendidikan kesihatan reproduktif,” katanya.

Sementara itu, Pengarah IPG Kampus Ilmu Khas Dr Nirwana Muhammad Nasheed berkata institusi pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk golongan muda yang bukan sahaja cemerlang dari segi intelektual, malah mempunyai kesejahteraan psikologi, kematangan emosi dan daya tahan diri.

Beliau berkata aspek berkenaan penting dalam membantu golongan muda menghadapi cabaran kehidupan serta membuat keputusan berkaitan masa depan secara lebih matang dan bertanggungjawab.

Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang bertemakan “Merealisasikan Harapan dan Aspirasi Golongan Muda: Hari Ini dan Masa Hadapan” dianjurkan LPPKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama IPG Kampus Ilmu Khas serta jabatan dan agensi berkaitan.

Program yang disertai lebih 500 peserta itu turut menampilkan Forum Kependudukan bertajuk “Kuala Lumpur Sejahtera: Menangani Keganasan Rumah Tangga, Kesihatan Mental Remaja dan Cabaran Kependudukan”, selain reruai daripada pelbagai agensi.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement