MALAYSIA

Golongan wanita di N.Sembilan sentiasa diberikan ruang sebagai pemimpin - Aminuddin

Bernama 26/07/2025 | 11:15 MYT
Aminuddin berkata wanita perlu menjadi suara keprihatinan rakyat dalam isu pendidikan, kesihatan, perumahan dan alam sekitar berikutan kepimpinan mereka membawa dimensi empati, ketelusan dan ketekunan dalam tadbir urus. - Foto FB Aminuddin Harun
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan sentiasa memberi ruang kepada golongan wanita di negeri ini untuk berada di kedudukan strategik sama ada di peringkat kampung, pihak berkuasa tempatan, sektor awam hingga pentadbiran negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata wanita perlu menjadi suara keprihatinan rakyat dalam isu pendidikan, kesihatan, perumahan dan alam sekitar berikutan kepimpinan mereka membawa dimensi empati, ketelusan dan ketekunan dalam tadbir urus.

"Selain itu, peranan wanita sebagai pendidik dan pembentuk generasi perlu diperkasakan kerana mereka adalah pendidik utama dalam keluarga dan masyarakat," katanya ketika berucap merasmikan pelancaran Wanita MADANI Inspirasi Negeri Sembilan (WADANI) di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata WADANI perlu mengambil kira peranan wanita sebagai penggerak sosial dan aktivis masyarakat selain ejen perubahan komuniti yang turun padang menyantuni masyarakat, bukan hanya menyalurkan bantuan tetapi membina kesedaran serta perubahan sikap.

Aminuddin berharap WADANI dapat memberi pendedahan mengenai kemahiran komunikasi dan empati untuk menyampaikan mesej secara berkesan dan mampu mendengar, memahami serta merespon dengan sensitif terhadap isu masyarakat.

Beliau turut berharap WADANI mampu menjadi platform memartabatkan wanita bukan hanya sebagai penyokong tetapi sebagai pemimpin masyarakat.

"Kita mahu melihat wanita Negeri Sembilan menerajui perubahan sosial, memperkasakan keluarga, memacu ekonomi komuniti dan menjadi benteng moral di tengah cabaran zaman," katanya.

-- BERNAMA




#Negeri Sembilan #golongan wanita #Aminuddin Harun #WADANI