KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) telah membuat laporan polis terhadap vokalis kumpulan The 1975 dan penganjur persembahan Good Vibes Festival atas kecuaian serta kegagalan mematuhi syarat-syarat ditetapkan Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL).

Laporan itu dibuat menerusi JK-PUSPAL susulan tindakan jelik dan kurang sopan yang dilakukan vokalis kumpulan itu, Matty Healy, ketika melakukan persembahan di Litar Antarabangsa Sepang, malam tadi.

Pada masa sama, JK-PUSPAL memaklumkan kumpulan The 1975 itu juga disenarai hitam daripada membuat sebarang persembahan di Malaysia.

"Kita tidak akan sama sekali bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang melakukan provokasi serta melakukan aksi biadab ketika mengadakan persembahan di Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

JK-PUSPAL yang kesal dengan perlakuan itu turut menyifatkan tindakan artis itu sebagai satu penghinaan, memperlekehkan undang-undang negara dan melanggar tatasusila rakyat Malaysia.

Menurutnya, ketika permohonan dibuat, penganjur memberi jaminan akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap persembahan artis terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan, pihaknya akan memanggil pihak penganjur konsert kumpulan The 1975 petang ini, susulan tindakan penyanyi kumpulan itu yang menunjukkan perlakuan kurang sopan ketika konsert berkenaan.

Sebelum ini, Fahmi dalam ciapan di Twitter menyifatkan perlakuan Healy dalam konsert itu sebagai biadab.

Dalam konsert itu, Healy dilihat memegang botol arak di atas pentas ketika melakukan persembahan selain meludah dan melakukan aksi kurang sopan.

Malah, Healy juga membuat ucapan menghina undang-undang negara berkaitan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebelum mencium pemain bass The 1975, Ross McDonalds di atas pentas.