SEPERTI ura-ura yang didengari sejak seminggu lalu, Google telah menjenamakan semula Bard menjadi Gemini bermula semalam.

Kecerdasan buatan (AI) ini akan boleh digunakan sebagai pembantu maya menggantikan Assistant pada peranti Android.

Kerana ia berasaskan model AI Gemini Pro, ia boleh melakukan pelbagai tugasan seperti melakukan carian maklumat, menghasilkan kapsyen untuk gambar, menghasilkan kod untuk perisian, mencadangkan idea dan banyak lagi.



Ini dilakukan dengan memuat turun aplikasi Gemini terus pada peranti.

Apabila pengguna menyeru pembantu maya, pilihan untuk menggantikan Assistant dengan Gemini akan diberikan.

Gemini masih boleh melakukan kesemua tugas Assistant seperti menetapkan penggera bangun pagi dan banyak lagi.

Di iOS pula, Gemini boleh diakses menerusi aplikasi Google. Tekan ikon Gemini dalam aplikasi dan ciri yang sama dapat digunakan.

Tetapi pengalaman penggunaan Gemini adalah lebih lancar dengan integrasi yang lebih baik pada platform Android.

Gemini sudah boleh diakses pengguna di Amerika Syarikat bermula semalam. Pengguna global akan menerimanya secara berperingkat dalam minggu-minggu mendatang.

Ia akan menyokong hanya Bahasa Inggeris, Jepun dan Korea pada versi aplikasi.

Sementara itu Gemini versi web pula menyokong 40 bahasa-bahasa utama dunia. Sokongan bahasa lain pula akan diberikan secara berperingkat. -Amanz