Model AI Google Gemini diumumkan lewat malam semalam dengan ia adalah model yang paling berkuasa pernah dibangunkan oleh Google setakat ini. Ia hadir dalam tiga saiz berbeza iaitu Gemini Ultra, Gemini Pro dan Gemini Nano dengan ia menawarkan prestasi prestasi yang berbeza. Jika Gemini Nano kini tersedia pada peranti Pixel 8 Pro, Bard kini menerima penaiktarafan kemampuan menerusi penggunaan Gemini Pro.

Bard dengan Gemini Pro kini boleh digunakan di 170 negara dalam Bahasa Inggeris sahaja pada waktu ini. Dengan Gemini Pro, jawapan yang lebih jitu, kurang berhalusinasi dan pemahaman kod telah dipertingkatkan berbanding Bard yang menggunakan model PaLM 2. Tidak seperti Google Ultra, Bard dengan Google Pro pada waktu ini dihadkan untuk pemproses teks sahaja tanpa sokongan multi modal.

Bermula tahun depan, Bard Advanced akan diperkenalkan pula dengan ia menggunakan Gemini Ultra yang menyokong pertanyaan multi modal oleh pengguna. Gemini Ultra masih lagi dalam fasa ujian bagi memastikan ia selamat digunakan sebelum boleh diberikan kepada semua pengguna. -Amanz