GADGETS
Google guna AI Generatif untuk mudahkan pembelajaran bahasa asing
Little Language Lessons terbahagi kepada tiga bahagian: Tiny Lesson untuk frasa cepat, Slang Hang untuk loghat bahasa, dan Word Cam untuk terjemahan teks dan label objek. -Amanz
APABILA bercakap mengenai pembelajaran bahasa asing, beberapa perkhidmatan yang sering diperkatakan termasuklah Duolingo, Babbel, Rosetta Stone dan sebagainya.
Ringkasan AI
- Google memperkenalkan Little Language Lessons, perkhidmatan pembelajaran bahasa asing yang menggabungkan AI Google Gemini dan perkhidmatan Google sedia ada.
- Little Language Lessons terbahagi kepada tiga bahagian: Tiny Lesson untuk frasa cepat, Slang Hang untuk loghat bahasa, dan Word Cam untuk terjemahan teks dan label objek.
- Google menyatakan Little Language Lessons tidak menggantikan pembelajaran bahasa formal, tetapi membantu mempelajari frasa untuk perjalanan ke luar negara.
Google mempunyai alat terjemahan Google Translate yang boleh dimanfaatkan dalam beberapa cara, seperti input teks, melalui aplikasi kamera seperti Google Lens dan sebagainya, dan ia sangat berguna untuk situasi di mana anda memerlukan terjemahan bahasa serta-merta.
Google baru-baru ini telah memperkenalkan Little Language Lessons, iaitu perkhidmatan pembelajaran bahasa asing yang menggabungkan perkhidmatan AI Google Gemini dan kepelbagaian perkhidmatan Google sedia ada untuk membolehkan anda mempelajari bahasa baru secara lebih semula jadi.
Little Language Lessons terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu Tiny Lesson, Slang Hang dan Word Cam. Tiny Lesson membolehkan anda untuk mempelajari frasa-frasa untuk digunakan dengan cepat, seperti bertanyakan arah, memesan makanan dan sebagainya.
Menggunakan Gemini, pengguna boleh menjana frasa yang boleh digunakan untuk perbualan ringkas bersama orang tempatan di dalam bahasa yang difahami mereka.
Kedua ialah Slang Hang, yang boleh mengajar anda sedikit sebanyak mengenai loghat bahasa yang membolehkan anda berbual dengan lebih semula jadi, dan tidak terlalu baku.
Anda boleh menggunakan Gemini untuk menjana dialog yang menggunakan “bahasa pasar” di dalam dialog-dialog anda, yang secara kebiasaannya akan mengambil masa untuk anda memahami nuansa bahasa asing sebelum anda boleh menggunakannya dalam perbualan harian.
Ketiga ialah Word Cam, dan ini boleh dilihat sebagai penjenamaan semula Google Lens yang menggunakan kamera peranti pintar anda untuk bukan sahaja menterjemah teks, tetapi juga melabelkan objek gambar yang diambil dengan nama dalam bahasa asing.
Melalui laman Google Developers, mereka juga telah memperkenalkan beberapa prom yang boleh digunakan pada Gemini untuk menjana teks terjemahan bahasa untuk perkataan-perkataan dan frasa yang anda mahu pelajari dengan cepat.
Google mengatakan bahawa Little Language Lesson tidak akan menggantikan pembelajaran bahasa di dalam kelas dengan guru bertauliah, tetapi sekiranya anda mahu mempelajari beberapa frasa tertentu untuk perjalanan ke luar negara, ia dilihat dapat membantu anda untuk berkomunikasi dengan rakyat tempatan. -Amanz