Google Malaysia mohon maaf atas kesilapan kadar pertukaran dolar AS-ringgit

Bernama
Mac 18, 2024 08:32 MYT
Google berkata bahawa ia menyediakan kadar pertukaran mata wang hanya untuk tujuan maklumat sahaja. -X Bernama
KUALA LUMPUR: Google Malaysia hari ini membuat permohonan maaf atas kesilapan berkenaan kadar pertukaran dolar AS-ringgit yang disiarkan di laman kewangannya.
"Kami segera menghubungi pihak ketiga yang memberikan maklumat tentang kadar pertukaran dolar AS-ringgit untuk membetulkan kesilapan itu.
"Isu itu kini telah diselesaikan dan kami memohon maaf atas sebarang kekeliruan yang timbul," kata Google Malaysia menerusi hantaran di laman X.
Google juga berkata bahawa ia menyediakan kadar pertukaran mata wang hanya untuk tujuan maklumat sahaja.
"Sila rujuk sumber rasmi seperti laman sesawang Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membuat sebarang keputusan kewangan," katanya di laman blog mikro itu.
Pada 15 Mac lepas Google telah menyiarkan kadar pertukaran dolar AS-ringgit yang tidak tepat di laman kewangannya.
Ini merupakan insiden kedua Google menyiarkan data kadar pertukaran dolar AS-ringgit yang tidak tepat pada tahun ini yang mana pertama kali berlaku pada 6 Feb.
-- BERNAMA
#Google #kadar pertukaran dolar AS-ringgit #permohonan maaf atas kesilapan #laman kewangan