[TERKINI] Ikuti pembentangan Bajet 2026 secara langsung – video tumpuan, undian anda serta analisis penuh di sini!
GADGETS

Google perkenal Gemini Enterprise – Platform pembangunan AI agentik untuk sektor korporat

Amanz 10/10/2025 | 05:15 MYT
Google Cloud memperkenalkan Gemini Enterprise, platform pembangunan AI agentik yang menyatukan teknologi seperti model Gemini dan integrasi data dari Google Workspace serta platform pihak ketiga. -Gambar Amanz
SYARIKAT korporat yang mahu memudah dan mempercepatkan proses dalaman yang teknikal kini mempunyai satu lagi pilihan baharu untuk membangunkan dan menggunakan perkhidmatan AI mereka melalui platform pembangunan perkhidmatan AI Gemini Enterprise yang diperkenalkan oleh Google Cloud.


Ringkasan AI
  • Google Cloud memperkenalkan Gemini Enterprise, platform pembangunan AI agentik yang menyatukan teknologi seperti model Gemini dan integrasi data dari Google Workspace serta platform pihak ketiga.
  • Ia membolehkan semua pekerja membina agen AI tersuai tanpa kemahiran teknikal, dengan ciri keselamatan rangkaian tertutup dan sokongan piawaian industri.
  • Google turut menawarkan program latihan dan kerjasama seperti Google Skills dan Delta untuk bantu organisasi manfaatkan AI secara optimum.


Platform agenik seragam Gemini Enterprise ini menggabungkan pelbagai teknologi AI Google termasuk model Gemini, agen AI proprietari tersendiri dan boleh memberi konteks walaupun apabila data syarikat ditarik dari Google Workspace ataupun platform pemprosesan data syarikat pihak ketiga seperti Microsoft 365, Salesforce ataupun SAP.


Ia boleh digunakan untuk penyelidikan mendalam, penjanaan idea, sehingga analisis data dan juga keupayaan untuk menambah agen AI tersuai yang dibangunkan sendiri oleh pasukan organisasi atau rakan kongsi Google Cloud.

Salah satu kelebihan utama Gemini Enterprise ialah perkhidmatan Workbench. Dengan ini, mana-mana pekerja syarikat boleh mula membangunkan proses perkhidmatan AI di dalam syarikat, tidak kira mereka mempunyai kemahiran teknikal untuk mengatur cara perkhidmatan baru ataupun tidak.

Tidak kira mereka dari jabatan pemasaran hingga kewangan, sesiapa sahaja boleh membina dan mengurus agen AI untuk menganalisis maklumat serta mengautomasikan proses syarikat dengan mudah.

Satu isu yang mungkin diperlihatkan oleh pentadbir IT syarikat dengan penggunaan peralatan pembangunan perkhidmatan AI ini akan hadir dari segi keselamatan data syarikat.

Gemini Enterprise membenarkan pembangunan rangka kerja tadbir urus berpusat dan tertutup, bermakna bahawa data syarikat tidak akan di hantar keluar daripada rangkaian dalaman syarikat, dan semua arahan AI yang diberikan perlu dilakukan dalam rangkaian yang sama juga.

Dalam pada itu, Gemini Enterprise juga menyokong integrasi dengan piawaian industri seperti protokol Agent2Agent (A2A), Agent Payments Protocol (AP2), dan Agent Development Kit (ADK), serta disokong oleh lebih 100,000 rakan ekosistem di seluruh dunia.

Selain itu, Google Cloud juga memperkenalkan pelbagai program baharu untuk membantu organisasi berjaya dalam era AI agentik, termasuk platform latihan percuma Google Skills dan inisiatif Delta yang membolehkan jurutera AI Google Cloud bekerjasama rapat dengan pasukan pelanggan bagi menangani cabaran-cabaran yang lebih rumit.

Menurut Thomas Kurian, Ketua Pegawai Eksekutif Google Cloud, “Kesemua program ini direka untuk satu tujuan: membantu anda dan pasukan anda membina masa depan dengan AI.

Ketika AI mengubah organisasi di seluruh dunia, Google Cloud merupakan satu-satunya rakan kongsi yang menawarkan set lengkap penyelesaian yang boleh disesuaikan mengikut keperluan organisasi anda.

Dan yang paling penting, kami menyampaikan nilai perniagaan sebenar untuk membantu anda memperoleh pulangan pelaburan daripada penggunaan AI anda”.

Anda boleh melayari laman web Gemini Enterprise sekiranya anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai platform pembangunan perkhidmatan AI ini. -Amanz







#Google Cloud #Gemini Enterprise #AI agentik #Google Workspace