GPS sokong Tun M terajui kepimpinan negara

Rudi Affendi Khalik
Februari 25, 2020 08:12 MYT
GPS menyokong penuh kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyatakan pendirian menyokong penuh kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
Menurut Setiausaha Agung GPS, Datuk Alexander Nanta Linggi, sokongan itu telah disampaikan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Ahad lalu.
Malah, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS turut menyampaikan sokongan itu kepada Tun Dr Mahathir.
"Ketua Menteri Sarawak telah mendapat mandat sebulat suara daripada Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS dan kesemua Ahli Parlimen GPS memberikan sokongan kepada Tun Dr Mahathir untuk terus menerajui kepimpinan Malaysia demi kepentingan negara," katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
Ahad lalu, Abang Johari mengadakan mesyuarat bersama barisan Ahli Parlimen GPS di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.
Bagaimanapun, tiada sebagai kenyataan diberikan berhubung mesyuarat tersebut serta pendirian GPS.
BACA: Ada 'agenda besar', Abang Jo jumpa Ahli Parlimen GPS di KL
BACA: 'Pemimpin negara kena sokong' - Ahli Parlimen Santubong
Malah, sidang media khas yang dijadualkan diadakan di ibu pejabat parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Jalan Bako, Kuching hari ini turut dibatalkan.
#Agong #Bumiputera #Datuk Alexander Nanta Linggi #Gabungan Parti Sarawak #GPS #Mahathir Mohamad #PBB #Sokong Tun M #Yang di-Pertuan Agong