Graduan diseru hayati sejarah kemerdekaan negara

Bernama
Ogos 11, 2022 05:18 MYT
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pada Majlis Konvokesyen ke-17 dan 18 Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Kuala Lumpur hari ini. Turut berangkat ialah Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru para graduan agar sentiasa mengingati dan menghayati sejarah kemerdekaan negara.
Seri Paduka bertitah, penghayatan sejarah adalah penting untuk membangkitkan kesedaran dan kecintaan kepada negara serta menghargai nikmat kemakmuran yang dikecapi sekarang.
"Generasi pewaris negara harus sentiasa menghayati dan mengambil iktibar daripada sejarah. Ini kerana manusia yang tidak belajar daripada sejarah akan mengulangi kesilapan sama berulang kali.
"Kerana itu para cendekiawan dunia menyatakan bahawa identiti nasional sesuatu bangsa dan negara ditentukan oleh batasan waktu yang berkait rapat dengan sejarah," titah Al-Sultan Abdullah dalam titah diraja pada Majlis Konvokesyen ke-17 dan 18 Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di sini hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hadir sama Pro-Canselor UniKL, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Azizah Mohd Dun. - BERNAMA
#Yang di-Pertuan Agong #sejarah kemerdekaan negara #identiti nasional #Konvokesyen UniKL