SUNGAI BULOH: Garis panduan gaji pokok permulaan RM2,500 sebulan bagi graduan dan pekerja separa mahir akan dilaksanakan tanpa mengira wilayah atau lokaliti, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan.
Beliau berkata, penetapan itu penting bagi memastikan pekerja menerima layanan adil berdasarkan kelayakan, kemahiran dan keupayaan, tanpa perbezaan gaji semata-mata kerana lokasi pekerjaan.
“Kalau kita lihat dari segi graduan, kita perlu berlaku adil. Contohnya, seorang graduan mempunyai diploma atau ijazah dan layak bekerja sebagai pengurus kewangan.
“Bagaimana kita hendak mengatakan mereka yang bekerja di Kuala Lumpur patut menerima gaji RM8,000, sedangkan mereka yang melakukan pekerjaan sama di Perlis atau Terengganu hanya layak menerima RM2,500?
“Saya tidak boleh berbuat demikian. Mereka bekerja keras, belajar bersungguh-sungguh, memperoleh kelayakan dan mempunyai kemahiran. Jadi, kita perlu berlaku adil kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program MADANI Kita di Sungai Buloh, di sini, pada Sabtu.
Sebelum ini, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan sedang menyediakan garis panduan gaji pokok permulaan RM2,500 sebulan bagi graduan dan pekerja separa mahir untuk memberikan panduan yang jelas kepada majikan serta pekerja mengenai pelaksanaan kerangka berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Ramanan berkata, kerajaan akan memperluas peluang latihan industri bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi kerjasama dengan Singapura dan Thailand.
Katanya, pelajar institusi latihan di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM) akan berpeluang mengikuti latihan di negara berkenaan, manakala pelajar dari institusi terbabit turut berpeluang menjalani latihan di Malaysia.
Beliau berkata, kerjasama itu termasuk dengan Institute of Technical Education (ITE) di Singapura dan akan dirangka berdasarkan keperluan sebenar industri bagi memastikan peserta memperoleh kemahiran yang diperlukan majikan.
“Pelajar berpeluang memperoleh pengalaman dan menjalani latihan yang bersesuaian dengan keperluan industri. Selepas menamatkan latihan, mereka akan ditawarkan pekerjaan tetap dengan gaji yang setimpal dengan kemahiran yang diperoleh,” katanya.