NIBONG TEBAL: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus diperkasakan dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman yang selari dengan keperluan industri, termasuk di peringkat antarabangsa.
Baginda bertitah, pendekatan pendidikan yang menggabungkan pembelajaran akademik dengan pengalaman sebenar di tempat kerja amat penting bagi memastikan graduan bukan sahaja bersedia memasuki alam pekerjaan, malah memiliki kompetensi serta daya saing yang diperlukan industri masa hadapan.
Titah baginda, usaha memperkukuh Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL), pensijilan profesional dan program yang diiktiraf industri perlu diteruskan bagi melahirkan graduan yang mempunyai kemahiran relevan serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan keperluan pasaran pekerjaan yang semakin dinamik.
Dalam masa sama, baginda menyeru rakan industri supaya terus memperkukuh kerjasama strategik bersama UniMAP, khususnya dalam bidang yang berpotensi besar menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan teknologi negara.
“Dengan hampir 3,000 graduan dilahirkan setiap tahun, dan kira-kira 70 peratus daripadanya menyertai sektor elektrik, elektronik dan semikonduktor, UniMAP terus memainkan peranan penting sebagai penyumbang bakat kepada industri strategik negara,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan UniMAP Industry Eminence Awards 2026 di sebuah hotel, di sini, pada Selasa.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Tuanku Pro Canselor UniMAP.
Keberangkatan baginda berdua disambut Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts Dr Aminuddin Hassim dan Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Ts Dr Zaliman Sauli.
Majlis berkenaan memberi pengiktirafan kepada 31 rakan industri strategik yang telah menyumbang secara signifikan dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi universiti, khususnya dalam aspek pengajaran dan pembelajaran, pembangunan mahasiswa, penyelidikan, inovasi serta pengkomersialan.
Pengiktirafan itu turut mencerminkan penghargaan UniMAP terhadap kepercayaan dan komitmen rakan industri yang terus bekerjasama dengan universiti dalam menyediakan peluang pembelajaran berasaskan pengalaman, latihan industri, penyelidikan dan pembangunan bakat yang memenuhi keperluan dunia pekerjaan.
Menurut UniMAP, kerjasama erat antara universiti dan industri menjadi faktor penting dalam memastikan mahasiswa memperoleh pendedahan kepada situasi sebenar pekerjaan, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Dalam majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen turut berkenan menyampaikan anugerah kepada para penerima yang terdiri daripada syarikat multinasional, perusahaan kecil dan sederhana.