SINTOK: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, yang juga Canselor Universiti Utara Malaysia, UUM bertitah agar graduan universiti ini mengamalkan tadbir urus cekap dan berintegriti dalam semua aspek kehidupan.

Baginda menegaskan bahawa tadbir urus, integriti dan graduan berpendapatan tinggi adalah perkara yang harus diberi tumpuan pada masa kini.

Titah baginda, ini adalah kerana graduan UUM merupakan graduan kelas pertama yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai pendedahan dan pengalaman dalam urusan kepimpinan serta pengurusan sesebuah organisasi.

"Integriti dan tadbir urus yang baik dan cekap merupakan asas kepada kecemerlangan sebuah organisasi.

"Jatuh bangun sesebuah institusi, syarikat, organisasi, pemimpin atau seseorang individu adalah bergantung kepada integriti yang dimiliki olehnya," titah baginda pada sesi 1 Majlis Konvokesyen Ke-36 UUM di Dewan Mu'adzam Shah, hari ini.

Baginda bertitah, tadbir urus yang cekap adalah landasan kepada kejayaan sesebuah institusi atau organisasi yang melibatkan pengurusan sumber dengan bijak, memaksimumkan hasil dan mengurangkan pembaziran.

Titah baginda lagi, integriti pula adalah nilai asas yang harus dihayati oleh setiap individu kerana integriti tidak hanya bermaksud tidak melakukan perkara yang salah, tetapi juga bermaksud berlaku jujur, adil dan bertanggungjawab dalam semua tindakan yang dilakukan.

Justeru, baginda berharap agar graduan UUM boleh menerajui program-program anti-rasuah untuk membantu sesebuah organisasi terutamanya dalam konteks tadbir urus yang baik dan berintegriti dengan melaksanakan pengurusan risiko rasuah.

Tuanku Sultan bertitah agar graduan UUM membantu sesebuah organisasi dan majikan dengan mewujudkan Dokumen Pelan Anti-Rasuah Organisasi yang merangkumi pelbagai usaha organisasi untuk mengatasi masalah rasuah yang berlaku.

"Ia merangkumi dasar, prosedur, latihan dan inisiatif yang digunakan untuk mengurangkan risiko rasuah, meningkatkan kesedaran etika dalam kalangan kakitangan, dan mempromosikan integriti.

"Pelan ini adalah satu pendekatan yang holistik untuk dilaksanakan bagi memastikan bahawa sesebuah organisasi dapat memerangi rasuah dalam semua aspek operasinya," titah baginda yang turut menyarankan agar graduan UUM memanfaatkan keupayaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Baginda percaya UUM boleh memainkan peranan proaktif dalam memperkenal dan melaksanakan perancangan ini.

Pada Ahad, seramai 81 graduan menerima anugerah dan pingat kecemerlangan akademik serta ijazah masing-masing yang disampaikan oleh Tuanku Canselor.

Selain itu, UUM turut mengurniakan gelaran Profesor Emeritus kepada tiga penerima iaitu Prof Dr Ku Ruhana Ku Mahamud, Prof Dr Rushaimi Zein Yusoff, dan Prof Dr Ir Che Sobry Abdullah.

Sesi pertama ini turut meraikan 17 graduan sulung bagi empat program baharu iaitu Sarjana Sains Keselamatan Siber (8), Sarjana Sains (Pengurusan Rantaian Bekalan) (3), Sarjana Sains (Pengurusan Projek) (1), dan Sarjana Sains (Pengurusan Pengangkutan dan Logistik (5).