KUALA LUMPUR: Malaysia wajar menggubal Akta Udara Bersih yang komprehensif bagi meningkatkan aspek akauntabiliti terhadap aktiviti yang menyumbang kepada jerebu selain menyediakan kerangka perundangan lebih kukuh sebagai usaha menangani masalah pencemaran udara yang berulang, menurut Greenpeace Malaysia.
Wakil Negara Greenpeace Malaysia Heng Kiah Chun berkata undang-undang sedemikian dapat memastikan individu dan syarikat Malaysia dipertanggungjawabkan sekiranya operasi mereka di luar negara menyumbang kepada jerebu, di samping membendung amalan tidak bertanggungjawab yang meningkatkan risiko kebakaran.
“Sebelum ini Malaysia telah mengakui bahawa perundangan berkaitan alam sekitar rentas sempadan adalah sesuatu yang boleh dilaksanakan. Kini, peluang yang ada adalah untuk memanfaatkannya dan mengambil langkah sewajarnya untuk merealisasikannya,” katanya dalam surat terbuka kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup hari ini.
Beliau berkata cadangan berkenaan adalah selaras dengan syor dikemukakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang terkandung di dalam laporan Hak kepada Udara Bersih.
Heng berkata krisis jerebu turut menimbulkan persoalan berkaitan akuantabiliti dan tadbir urus korporat terutama apabila terdapat syarikat berkepentingan Malaysia yang beroperasi di rantau ini dan berdepan aktiviti yang dikaitkan dengan kemusnahan tanah gambut serta peningkatan risiko kebakaran.
Beliau berkata Malaysia boleh memainkan peranan di peringkat serantau dengan menggalakkan amalan perladangan yang bertanggungjawab serta memastikan syarikat berkaitan Malaysia mematuhi piawaian alam sekitar yang tinggi di mana sahaja mereka beroperasi.
Heng turut menggesa agar usaha melindungi dan memulihkan kawasan tanah gambut dipertingkatkan khususnya di kawasan berisiko tinggi berlaku kebakaran ketika cuaca kering berpanjangan, di samping memperkasakan sistem pengesanan dan pemantauan kebakaran hutan bagi memastikan tindakan awal dapat dilaksanakan.
Gesaan berkenaan susulan amaran saintis bahawa fenomena “Godzilla El Nino” yang kuat tahun ini boleh meningkatkan risiko berlakunya kemarau, kebakaran hutan dan jerebu rentas sempadan di Asia Tenggara, dengan perubahan iklim berpotensi menjadikan fenomena berkenaan lebih serius.
Heng menyambut baik usaha kementerian yang mengutamakan persediaan awal, koordinasi antara agensi, pencegahan kebakaran di tanah gambut serta pelbagai langkah kesiapsiagaan yang dibincangkan pada mesyuarat pertama Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan (JIJCKK) pada 15 Jun 2026.
Beliau berkata meskipun Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan kekal sebagai kerangka serantau yang penting, lebih banyak usaha perlu dilaksanakan bagi menangani jerebu yang berulang, khususnya dalam aspek memperkukuh hak alam sekitar, kerjasama serantau serta akauntabiliti.
“Persoalannya bukan sama ada jerebu akan kembali, tetapi sama ada kita mampu bertindak lebih awal bagi mengurangkan kesannya terhadap masyarakat, komuniti dan alam sekitar.
“Dengan melindungi kesihatan awam, memelihara hutan dan tanah gambut serta memperkukuh akauntabiliti terhadap alam sekitar, Malaysia mampu membantu memastikan masa depan yang lebih bersih, sihat dan berdaya tahan untuk semua,” katanya.
-- BERNAMA