Global Sumud Flotilla: 443 aktivis ditahan Israel di laut antarabangsa, termasuk 15 rakyat Malaysia. Ikuti perkembangan terkini di sini
MALAYSIA

GSF: UMNO gesa dunia bersuara kutuk tindakan Israel tahan aktivis kemanusiaan

Bernama 02/10/2025 | 10:47 MYT
Setiausaha Agung UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata para sukarelawan GSF tidak membawa sebarang senjata sebaliknya bekalan makanan, ubat-ubatan dan susu bayi yang amat diperlukan oleh penduduk Gaza. - Foto BERNAMA
BANGI: UMNO mendesak semua negara yang menjalin hubungan diplomatik dengan Israel agar tampil mengutuk tindakan rejim Zionis menahan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata para sukarelawan GSF tidak membawa sebarang senjata sebaliknya bekalan makanan, ubat-ubatan dan susu bayi yang amat diperlukan oleh penduduk Gaza.

"Kita minta supaya semua negara yang ada hubungan diplomatik dan dianggap sebagai sekutu kepada Israel, mengutuk keras kekejaman yang dilakukan kerana ini jelas melanggar peraturan antarabangsa dan soal kemanusiaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan Maktab Rendah Sains Mara di sini hari ini.

Beliau berkata tindakan Israel itu juga akan dibincang pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO esok.

Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan bahawa setakat ini, seramai 15 rakyat Malaysia ditahan selepas kapal yang mereka naiki dipintas tentera Israel di perairan antarabangsa.

GSF disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara termasuk aktivis iklim Greta Thunberg, pelakon Hollywood Susan Sarandon serta cucu Nelson Mandela, Mandla Mandela yang belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel.

-- BERNAMA



#UMNO #Global Sumud Flotilla GSF #kutuk tindakan Israel #tahan aktivis