[TERKINI] Kapal FFC, Thousand Madleens diserbu Israel, 8 delegasi Malaysia terlibat
MALAYSIA

GSF: Wartawan Bernama kongsi detik cemas Ardell Aryana rebah sebelum menaiki bas

Bernama 08/10/2025 | 02:20 MYT
Kepulangan sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) disambut oleh petugas media dan penyokong mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, malam tadi. - Gambar Bernama
SEPANG: Majlis sambutan kepulangan sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal 1, di sini malam tadi, bertukar cemas apabila pempengaruh dan aktivis Ardell Aryana tiba-tiba rebah sebaik menghampiri pintu bas.

Ardell Aryana atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin, 35, kelihatan pucat sebelum rebah di celahan orang ramai yang berasak-asak menghampiri ibu kepada dua anak itu untuk bersalaman dan bergambar.

Anggota polis bantuan yang bertugas di lokasi segera memberikan bantuan kecemasan sebelum Ardell Aryana dibawa ke kawasan selamat untuk menerima rawatan lanjut.

Difahamkan, abangnya yang berada berdekatan ketika kejadian, segera mendapatkan adik beliau sambil mendukung anak sulung Ardell Aryana, Arwan Malaikha Urwa Nadzmi Adhwa, 5, sebelum meminta bantuan wartawan Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Samantha Tan untuk mendukung kanak-kanak itu.

Samantha, 44, berkata, dia berada di sana bagi membuat liputan majlis sambutan berkenaan dan sedang berusaha mendapat Ardell Aryana untuk ditemu bual bagi mendapatkan pengalaman menyertai misi GSF.

"Ketika kejadian, beliau (Ardell Aryana) bersama sukarelawan lain sedang diiringi anggota keselamatan menuju ke bas yang di parkir di luar terminal selepas selesai sidang media.

"Situasi semakin tidak terkawal apabila sukarelawan itu diasak ratusan orang yang mahu bergambar dan bersalaman dengan beliau walaupun abangnya telah meminta untuk mereka memberikan ruang," katanya.

Samantha yang berkongsi detik cemas itu berkata, permintaan tersebut bagaimanapun tidak diendahkan orang ramai hingga Ardell Aryana secara tiba-tiba rebah namun sempat dirangkul abangnya yang mengikuti rapat di belakang pempengaruh itu.

"Abangnya yang sedang mendukung anak Ardell berkata jangan tolak, jangan tarik Ardell sebab dia tidak sihat lagi. Ketika itu Ardell kelihatan lemah dan kemudiannya rebah.

"Saya tolong dukungkan anak Ardell...lama juga sebab tunggu orang papah Ardell bawa naik bas. Nasib baik anak Ardell tak menangis," katanya.

Semalam, penerbangan Emirates EK342 yang membawa 27 sukarelawan Malaysia termasuk empat dari kapal pemerhati dan lima peguam mendarat pada 10.07 malam Selasa di KLIA Terminal 1.

Ketibaan mereka disambut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, wakil Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta ratusan pendukung Palestin dengan laungan Free Free Palestine dan 'Allahuakbar' sambil mengibarkan bendera Palestin.

Kesemua 23 sukarelawan itu ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).

Selain itu, Razali Awang menaiki kapal Inana; Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).

Pada 2 Okt lepas, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah di Laut Mediterranean sebelum dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.

Kesemua mereka dilapor dibebaskan dan berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 6.45 petang waktu Malaysia pada Sabtu, sebelum tiba di Istanbul pada 8.40 malam waktu Malaysia.

-- BERNAMA



#misi GSF #Global Sumud Flotilla #Ardell Aryana #Ardell Aryana rebah #Wartawan Bernama