23 Delegasi Malaysia Bebas dari Israel, Kini di Istanbul untuk Pemeriksaan & Sokongan – Ikuti Perkembangan Terkini di sini
MALAYSIA

GSF: Wisma Putra rakam penghargaan atas pembebasan rakyat Malaysia ditahan Israel

Astro Awani 04/10/2025 | 20:15 MYT
Wisma Putra berkata, peranan penting negara-negara ASEAN yang mempunyai Kedutaan di Tel Aviv amat membantu dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia.
KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Negeri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua kerajaan yang terlibat dalam usaha membebaskan rakyat Malaysia yang ditahan oleh pihak Israel.

Dalam satu kenyataan, Wisma Putra menyatakan penghargaan khusus kepada negara-negara ASEAN yang mempunyai Kedutaan di Tel Aviv atas bantuan berharga mereka dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia.

“Malaysia turut berterima kasih kepada Kerajaan Türkiye atas peranan penting dan sokongan yang diberikan, serta kepada Kerajaan Jordan, Mesir, Amerika Syarikat dan negara-negara ASEAN yang mempunyai Kedutaan di Tel Aviv atas sumbangan mereka dalam menjamin keselamatan rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Kementerian juga menyampaikan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepimpinan tegas dan usaha berterusan beliau dalam memastikan pembebasan rakyat Malaysia yang ditahan.

Selain itu, penghargaan turut diberikan kepada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan pasukan Sumud Nusantara atas semangat dan dedikasi mereka yang menyerlahkan solidariti Malaysia terhadap rakyat Palestin.

Wisma Putra menambah bahawa meskipun misi tersebut tidak berjaya memasuki Gaza, ia tetap berjaya meningkatkan kesedaran antarabangsa mengenai sekatan haram yang dikenakan oleh rejim Zionis Israel.

“Penyertaan rakyat Malaysia dalam misi ini mengukuhkan komitmen negara dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin serta menentang kekejaman, kebuluran, bencana kemanusiaan yang tragik dan kemusnahan yang sedang berlaku di Gaza,” jelas kenyataan itu.

Sehubungan itu, Kementerian Luar menegaskan bahawa Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan rakan-rakan antarabangsa bagi memastikan usaha kemanusiaan sentiasa dilindungi dan solidariti global terhadap Palestin terus diperkukuh.





#Wisma Putra #ASEAN #Global Sumud Flotilla #kedutaan