Global Sumud Flotilla: 443 aktivis ditahan Israel di laut antarabangsa, termasuk 15 rakyat Malaysia. Ikuti perkembangan terkini di sini
MALAYSIA

GSF: Yatt Hamzah kongsi komunikasi terakhir bersama suami

Bernama 02/10/2025 | 10:35 MYT
Yatt, 45, berkata beliau sempat mengirim video anak-anak kepada suaminya sehingga membuatkan lelaki itu sebak, terutama selepas lebih sebulan berjauhan sejak Mohd Zulfadhli berangkat ke Sepanyol pada 27 Ogos lepas. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: "Tunggu maklumat lanjut daripada command centre". Itu pesanan yang masih segar dalam ingatan Haryati Hamzah atau Yatt Hamzah selepas perbualan terakhir bersama suaminya Mohd Zulfadhli Khiruddin, yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), sebelum kapal yang dinaikinya disahkan ditahan tentera Israel berhampiran perairan Gaza.

Pengacara selebriti itu berkata dalam perbualan menerusi aplikasi Signal selepas solat Isyak malam tadi, Mohd Zulfadhli memaklumkan mengenai kemungkinan berlaku penyekatan dan akan membuang telefon bimbit ke laut bagi mengelak sistem digodam musuh.

"Lepas itu dia cakap dia pun tidak tahu apa yang akan jadi. Cuma dia pesan agar saya hanya menunggu maklumat lanjut daripada command centre, selepas itu saya tidak menerima sebarang perkembangan daripadanya," katanya ketika dihubungi Bernama.

Yatt, 45, berkata beliau sempat mengirim video anak-anak kepada suaminya sehingga membuatkan lelaki itu sebak, terutama selepas lebih sebulan berjauhan sejak Mohd Zulfadhli berangkat ke Sepanyol pada 27 Ogos lepas.

Beliau berkata anak-anak turut merindui bapa mereka, terutama anak kedua dan keempat yang sangat rapat dengan Mohd Zulfadhli.

"Setiap hari mereka bertanya tentang keadaan ayah. Saya cuba kuat di hadapan anak-anak supaya mereka tidak terlalu sedih," katanya yang mengakui memilih untuk tidak mengikuti perkembangan di media sosial kerana bimbang terpengaruh dengan maklumat tidak rasmi, sebaliknya hanya bergantung kepada saluran rasmi serta doa.

"Saya yakin dia selamat. Setiap hari saya tidak berhenti berdoa, melakukan solat hajat dan berzikir agar Allah permudahkan segala urusan. Dia pergi membawa semangat saya juga kerana saya sendiri seorang aktivis kemanusiaan," katanya.

Sementara itu, kakak kepada pendakwah selebriti PU Rahmat Nur Rahimah Fitrah Mohd Sofyan, 35, berkata kali terakhir beliau menerima maklumat daripada adiknya, melalui rakaman suara yang dihantar sekitar 4.45 pagi waktu Malaysia.

"Beliau sempat menghantar rakaman suara untuk inform yang kapal beliau tak boleh diteruskan kerana sudah ditahan, itu sahaja...saya tak pasti ada apa-apa terjadi selepas daripada rakaman suara itu.

"Kami sedar risiko yang mereka ambil, tetapi niat mereka jelas untuk membantu sesama manusia dalam krisis kemanusiaan. Kami percaya kerajaan sedang melakukan yang terbaik, dan kami mohon agar usaha ini dipercepat dan dipermudah," katanya.



GSF-KELUARGA 3 (AKHIR) KUALA LUMPUR



Dalam pada itu, suami kepada pelakon Ardell Aryana, Nadzmi Adhwa meminta orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung keadaan isterinya, yang menyertai misi flotilla tersebut.

Dalam hantaran di Threads, Nadzmi memaklumkan tiada sebarang laporan mengenai penyiksaan atau tembakan berlaku dan meminta supaya semua pihak terus bertenang serta berdoa.

"Sejak selepas siaran langsung kecemasan (SOS) Ardell subuh tadi hingga sekarang, saya belum menerima sebarang perkembangan tentang isteri saya. Saya masih dalam kebingungan," katanya.

Setakat 1 tengah hari ini, Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan sebanyak 12 rakyat Malaysia ditahan selepas kapal mereka memasuki zon merah R3, kira-kira 100 batu nautika dari pesisiran pantai Gaza, manakala lima lagi dilaporkan terputus hubungan dengan SNCC.

-- BERNAMA


#Global Sumud Flotilla GSF #Yatt Hamzah #kongsi komunikasi #ditahan tentera Israel