[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
DREBAR

GTS – varian Boxster dan Cayman lebih lincah dilancarkan

Astro Publication 06/07/2015 | 14:47 MYT
Porsche Boxster GTS dan Cayman GTS sudah dilancarkan secara rasmi bagi pasaran Malaysia oleh pengimport sahnya, Sime Darby Auto Performance Sdn. Bhd. (SDAP). GTS, yang bermaksud Gran Turismo Sport adalah varian khas pengeluar ini yang mementingkan prestasi tinggi, kualiti dinamik untuk kegunaan di litar, dan juga kesesuaian untuk pemanduan harian di jalan raya biasa.
Harga permulaan untuk Boxster GTS adalah RM660,000 manakala untuk Cayman GTS pula adalah RM700,000, termasuk waranti untuk empat tahun dan pakej servis penyelenggaraan selama empat tahun. Harga ini juga tidak termasuk cukai jalan, insurans dan yuran pendaftaran.
Spesifikasi
Kedua-dua model ini mempunyai beberapa persamaan yang penting, antaranya adalah enjin ‘boxer’ enam silinder yang berasaskan unit 3.4-liter dipasang di dalam model Boxster S dan Cayman S. Tetapi, output masing-masing adalah berbeza; 330hp (Boxster GTS) dan 340hp (Cayman GTS).
Dengan ciri Sport Chrono yang dipasang standard, dan kotak gear klac berkembar PDK, Boxster GTS dan Cayman GTS masing-masing dapat mencapai 100km/j dalam masa hanya 4.7 saat dan 4.6 saat.
Antara yang turut menjadi perhatian pada mana-mana model GTS adalah bunyi yang dihasilkan. Untuk itu, ekzos GTS ini direka khusus untuk mengetengahkan kemampuannya menerusi bunyi yang lebih garang.
Pengendalian
Casis varian ini duduk 10mm lebih rendah berbanding model asasnya dan juga dipasang ciri PASM sebagai peralatan standard. Mod-mod pilihan adalah ‘Normal’ dan ‘Sport’ di mana ‘Sport’ akan menjadikan penyerap hentak menjadi lebih keras. Bersama-sama pusat graiti yang lebih rendah, ini memberikan kereta-kereta ini kemampuan untuk mengambil selekoh dengan lincah.
Fizikal
Varian GTS mudah untuk dikenalpasti melalui penampilannya yang lebih menonjol. Bahagian hadapan dipasang lip bawah di samping lebih panjang yang memberikan panjang kereta ini yang 30mm lebih dari biasa.
Lampu adalah jenis aktif, dinamakan Porsche sebagai Sistem Lampu Dinamik di mana ia menyuluh mengikut arah stereng dipusing. Dengan ini, pemandu dapat melihat ke arah jalan yang diterangi lampu apabila mengambil selekoh.
# # Boxster # Cayman # Sime Darby #Porsche