MALAYSIA

Guan Eng jamin ahli perniagaan dapat tanah lot di Bandar Tanjung Pinang - Saksi

Bernama 29/10/2025 | 08:50 MYT
Siasatan SPRM mendapati Ewe membuat bayaran RM26.6 juta kepada CZBUCG dan baki RM53.2 juta melalui pinjaman bank, dipercayai kerana yakin dengan jaminan daripada Lim (foto). -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, diberitahu bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah memberikan jaminan kepada ahli perniagaan mendiang Datuk Ewe Swee Kheng bahawa syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd (EZSB) miliknya akan mendapat tanah Lot 702 yang terletak di Bandar Tanjung Pinang, Pulau Pinang untuk dibangunkan.


Ringkasan AI
  • Mahkamah diberitahu Lim Guan Eng memberi jaminan kepada mendiang Datuk Ewe Swee Kheng bahawa syarikatnya akan memperoleh tanah Lot 702 di Bandar Tanjung Pinang, mendorong Ewe membiayai CZBUCG sejak 2013 walaupun tanah hanya dipindah milik pada 2015.
  • Siasatan SPRM mendapati Ewe membuat bayaran RM26.6 juta kepada CZBUCG dan baki RM53.2 juta melalui pinjaman bank, dipercayai kerana yakin dengan jaminan daripada Lim.
  • Lim berdepan empat pertuduhan rasuah berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, termasuk dakwaan menerima suapan dan melupuskan tanah kerajaan kepada syarikat pemaju.


Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Cawangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zulhilmi Ramli, 33, berkata susulan jaminan tersebut, Ewe telah membiayai syarikat Consortium Zenith Bejing Urban Construction Group Sdn Bhd (CZBUCG) sejak 2013, sedangkan tanah Lot 702 itu hanya dipindah milik kepada CZBUCG pada 2015.

"Berdasarkan perjanjian awal telah ditandatangani Kerajaan Negeri dan Pengerusi CZBUCG Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli pada 6 Okt 2013, CZBUCG telah mengadakan kerjasama dengan EZSB untuk membangunkan tanah tersebut.

"Siasatan menunjukkan Ewe telah membiayai CZBUCG sejak 2013 sedangkan tanah hanya dipindah milik kepada CZBUCG pada 2015," katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes rasuah Lim membabitkan projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Zulhilmi yang juga pegawai penyiasat kes berkata urus niaga berkenaan jelas tidak masuk akal namun ia terjadi kerana Ewe telah diberikan jaminan oleh tertuduh bahawa beliau akan mendapat Lot 702.

"Dalam satu rakaman percakapan pada 14 Ogos 2021, Ewe telah mendedahkan secara terperinci berkaitan pertemuan awal dengan YB Lim serta pakatan yang dibuat bersama ahli politik itu dalam memastikan beliau mendapat tanah Lot 702 itu.

"Saya dapati keterangan Ewe ini disokong oleh keterangan Zarul Ahmad berhubung wujudnya persetujuan bersama YB Lim, yang pada akhirnya, tanah Lot 702 tersebut sememangnya telah dipindah milik kepada syarikat Ewe," katanya.

Menurut Zulhilmi, berdasarkan perjanjian tambahan ditandatangani pada 27 Feb 2014, syarikat milik Ewe telah membuat pembayaran berjumlah RM26.6 juta kepada CZBUCG manakala baki pembayaran sebanyak RM53.2 juta dibuat menggunakan pinjaman dari sebuah bank.

"Bayaran ini dilihat suatu tindakan berani oleh Ewe memandangkan pada masa tersebut tanah Lot 702 belum lagi dipindah milik kepada CZBUCG dan ini jelas menunjukkan Ewe berani mengambil tindakan berkenaan kerana telah diberi jaminan oleh YB Lim.

"Ini lebih menguatkan kepercayaan saya terhadap keterangan Ewe bahawa jumlah yang diterima ini bukanlah suatu jumlah sedikit sehingga mendiang berani memberikan wang kepada CZBUCG sekiranya tiada sebarang jaminan dari tertuduh," katanya.

Ewe meninggal dunia pada Okt 2021 selepas ditemukan di bahagian bawah sebuah kondominium, di Pulau Pinang.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 64, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukan beliau untuk menerima RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi, Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan kes di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

-- BERNAMA



#Lim Guan Eng #SPRM #Ewe Swee Kheng #Bandar Tanjung Pinang #CZBUCG